Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Rombakan kabinet lepas tahun baru Cina berita palsu, kata PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menyangkal "khabar angin dan berita palsu" mengenai rombakan kabinet selepas cuti Tahun Baru Cina.

"Tiada rombakan," katanya.

Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina yang diadakan di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di Kuala Lumpur.

Ketika ditanya mengenai hantaran blog yang mendakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali akan dilantik menjadi timbalan perdana menteri selepas Tahun Baru Cina, Dr Mahathir menafikan perkara berkenaan.

"Saya fikir masih kabinet yang sama. Semua itu khabar angin. Berita palsu," jawabnya.

Dakwaan pada hantaran blog itu telah menyebabkan timbul desas-desus mengenai kedudukan Azmin dan pelan peralihan kuasa Pakatan Harapan yang melibatkan Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri kelapan.

Antara lain, blog itu juga mendakwa Azmin dipersiapkan untuk menjadi timbalan perdana menteri maka sebab itulah beliau dilantik memegang jawatan penting, termasuk paling baru pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan.

Majlis yang dianjurkan bersama oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan NCCIM itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Anwar Ibrahim.

Antara yang hadir pada majlis itu Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Turut kelihatan Duta China ke Malaysia, Bai Tian dan Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia Vicki Treadell.

Pemimpin Harapan termasuklah MP veteran DAP Lim Kit SIang dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Lihat Komen
ADS