Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas dituduh miliki ijazah palsu, laman Wikipedia Marzuki pula diedit

Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya mencela tindakan pihak tertentu menyunting latar belakang akademiknya di laman Wikipedia.

Suntingan itu berlaku ketika timbul spekulasi yang mendakwa ijazah sarjana muda pengurusan perniagaan yang dimilikinya dari Universiti Cambridge adalah palsu.

“Semua orang boleh edit. Orang ada niat jahat. Saya pun tak tahu apa sebenarnya terjadi,” katanya kepada Malaysiakini.

Kebanyakan suntingan tersebut dilakukan oleh seorang pengguna yang tidak dapat dikenal pasti (anonymous).

Biarpun mempunyai polisi yang ketat, laman Wikipedia membenarkan suntingan dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Babak suntingan itu bermula tengah hari semalam, apabila seorang pengguna menyunting maklumat pusat pengajian tinggi Marzuki daripada Universiti Cambridge kepada Universiti Antarabangsa Cambridge.

Kemudiannya, seorang penyunting kedua yang juga tidak dapat dikenal pasti, menambah satu kenyataan di profail Marzuki: “Universiti Antarabangsa Cambridge merupakan kilang diploma, tiada kaitan pun dengan Universiti Cambridge”.

Suntingan itu kemudiannya dipadam.

Kemudian, semua maklumat tentang latar belakang akademik Marzuki dipadam oleh penyunting pertama pada 6 pagi tadi.

Sejumlah enam suntingan didapati telah dilakukan terhadap profail Marzuki di Wikipedia.

Babak sunting-menyunting di Wikipedia tersebut dikongsi oleh seorang pengguna Twitter "Aisehman."

Pencarian Malaysiakini mendapati bahawa Universiti Antarabangsa Cambridge tidak tersenarai dalam institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh kerajaan Biritish.

Sebelum itu, profil Marzuki mengandungi kenyataan bahawa beliau merupakan pemegang ijazah sarjana muda pengurusan perniagaan yang diperolehi dari Universiti Cambridge melalui program pengajian jarak jauh.

Kelayakan akademik Marzuki menjadi persoalan apabila satu laporan polis dibuat berhubung dakwaan bahawa Universiti Cambridge sebenarnya tidak menawarkan program pengajian jarak jauh untuk kursus pengurusan perniagaan. 

Lihat Komen
ADS