Paling Popular
Terkini

ULASAN | Selain 1MDB, kamera AES merupakan antara titik kemarahan rakyat terhadap BN. Ahli parlimen PH sendiri yang menggembar-gemburkan masa jadi pembangkang dahulu. Mudahnya kalian lupa.

Pelik bin ajaib, kamera sama juga yang mahu ditambah lagi jumlahnya oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH)—sepertinya kemarahan lama tidak cukup, hendak disimbah minyak lagi. Apabila dirujuk kepada menteri pengangkutan, Anthony Loke, jawabnya dia tidak peduli! Tidak ada diskaun, tidak ada pengurangan.

Perkara terpenting baginya ialah mahu mencapai KPI. Memang pelik bin ajaib bin hairan, sejak bila KPI menteri lebih penting daripada “KPI rakyat”?

Tidakkah menteri-menteri PH mudah lupa, Najib Razak yang tidak putus bercakap pasal KPI pun dipersetankan oleh rakyat, apakah terlalu sukar untuk dilakukan perkara sama kepada PH? Sekarang pun sudah ada bunyi-bunyi mengenai “kerajaan sepenggal” di sana sini.

Loke ketika melawat terminal TBS.

Ramai melihat sikap menteri pengangkutan itu sebenarnya adalah sombong. Kalau pun niatnya suci, yakni mahu mengurangkan kemalangan jalan raya, tetapi meninggikan suara untuk sesuatu yang memang dibenci rakyat, akhirnya bukan sahaja sombong, bahkan bodoh pula.

Sesuci embun pagi pun niatnya, tanpa kebijaksanaan, maka kebaikan itu tidak akan membawa apa-apa makna. Sikap gaya akan lebih banyak mendatangkan mudarat.

Lebih menyeramkan, sikap seperti Anthony bukan sahaja ditunjukkan Anthony, juga oleh beberapa menteri yang lain.

Misalnya dalam kes larangan merokok oleh menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad; kes pengisytiharan harta oleh menteri kebudayaan dan pelancongan, Mohammadin Ketapi; kes peruntukan kepada sekolah swasta Cina oleh menteri kewangan, Lim Guan Eng dan juga bapanya yang juga god father DAP, Lim Kit Siang dalam komen terhadap orang asli dan sokongan Melayu terhadap PH. Semuanya seperti menyemburkan api dari mulut buaya.

Nama-nama di atas hanya sebahagian sahaja. Kalau hendak ditulis semua, nanti terlalu panjang senarainya.

Namun elok juga dalam suasana Gong Xi Fa Chai ini diingatkan kepada para menteri yang ada-ada itu akan kisah mantan gabenor Jakarta, Ahok, atau nama sebenarnya, Basuki Tjahaja Purnama. Pada mulanya, Ahok—seperti juga PH—sangat dijulang sebagai hero masyarakat. Amat memeranjatkan dalam pemilihan gabenor Jakarta yang lalu, dia segera dihukum dan dikalahkan. Ahok akhirnya mendekam ke penjara.

Kalau di negara ini, jawatan gabenor adalah setaraf datuk bandar Kuala Lumpur. Jawatan berkenaan sangat penting dalam tradisi politik Indonesia kerana biasanya presiden Indonesia pasti pernah menjadi gabenor Jakarta. Antaranya ialah presiden Jokowi dan Megawati Seokarno Putri.

Bukan kerana Ahok Cina

Ahok sejak ke Jakarta dilihat sebagai gabenor yang tegas dan lantang. Terutama dalam membenteras rasuah dan korupsi: dua isu yang menjadi masalah berat di kalangan penjawat awam.

Waktu itu, dia hanya wakil gabenor, yakni timbalan kepada Jokowi. Apabila Jokowi naik bertanding sebagai presiden, di situlah Ahok secara tidak langsung naik pangkat jadi gabenor.

Di sebalik suaranya yang lantang dan ketegasan terhadap kes-kes rasuah, masyarakat Jakarta juga mula melihat adanya sisi lain dari sikap Ahok yang lebih suka menghukum orang kecil berbanding menjayakan dasar yang dijanjikan.

Ahok

Peniaga kaya di belakangnya, terutama usahawan Cina asal Singapura dan China dikatakan mendapat keuntungan terbesar sepanjang era Ahok menjadi gabenor.

Sewaktu saya berkunjung ke sana tiga tahun lalu, begitulah suara penarik beca atau tukang ojek yang terdengar. Ketika mutar-mutar kota, mereka menunjukkan projek-projek kondominium mewah dan gedung beli-belah yang mega, yang dibangunkan atas apa yang dipercayai dengan kelulusan Ahok.

Walaupun Ahok turut membangun rumah rakyat, namun sangat tidak memadai. Lebih cakap dari buat.

Dalam waktu sama projek rumah susun, atau di Malaysia disebut sebagai flat atau rumah pangsa, hanyalah projek untuk mengaburi mata orang biasa sedangkan di belakang tabir kantor Ahok, tangan-tangan tauke besar bermaharajalela.

Dalam Pemilu (pilihan raya umum) berikutnya, Ahok kalah!

Demo anti-Ahok di Jakarta pada 2016.

Dia kalah bukan kerana dia Cina. Bukan juga kerana ucapannya yang dikatakan mempersenda agama. Bagi saya, Ahok kalah kerana kejujurannya diragui di samping tiada kebijaksanaan ketika mahu melaksanakan dasar atau program-program yang sesuci embun pagi itu tadi.

Seperti menteri-menteri yang saya sebutkan di atas, Ahok akhirnya dilihat sebagai sosok pemimpin yang angkuh, kasar dan memusuhi orang bawah. Kalau di era Malaysia baru ini, kita akan mendengar cerita kerajaan PH yang tanpa tolak ansur mahu melaksanakan dan memperbanyakkan kamera AES, atau ada menteri yang dengan cara paksa mahu memaksakan undang-undang larangan merokok.

Apa yang mulai dipersoalkan oleh rakyat ialah, tidak adakah perkara lebih penting yang wajib dikerjakan dahulu? Dalam kes kamera AES, siapa pula yang paling untung apabila kamera itu hendak diperbanyakkan di serata lebuh raya? Syarikat atau rakyat? Tauke atau pengguna lebuh raya?

Undang-undang munafik

Mungkin menteri kini sudah hilang sensitiviti yang kamera AES itu satu lagi undang-undang yang munafik. Bukan kerana rakyat sukakan kemalangan, tetapi mereka ada cara lebih bijak untuk mengesan di mana kamera AES dipasang.

Pemandu lori dan bas misalnya memang sudah cukup arif dan hafal betul di kilometer berapa setiap kamera AES berada. Kalau pun yang terkena atau ‘masuk perangkap’ hanyalah mereka yang sesekali pulang ke kampung; yang mahu bercuti ke luar kota; atau menghantar anak masuk universiti di bandar-bandar. Kaki rempit sebenar akan susah masuk jerat.

Di sebalik kemunafikan ini sebenarnya menunjukkan betapa malasnya kerajaan PH untuk memperbanyak program kesedaran dan mendidik pengguna lebuh raya. Menterinya nampak lebih kemaruk buat video mempromosikan diri berbanding kempen kesedaran had laju dengan cara lebih kreatif.

Seperti di era BN, suara dan sentimen rakyat boleh sahaja dibakulsampahkan. Menteri memang akan memasang macai untuk mempertahankan tindakannya, terutama di media sosial. Namun rakyat juga tahu bagaimana mahu memasang ‘kamera AES’ untuk memantau pula setiap tindak tanduk pemimpin mereka.

Saman kepada PH akan dikeluarkan apabila tiba pilihan raya. Oleh itu, awas PH! Jangan melebihi had laju. Sudah beberapa kali, kamu berbuat begitu.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS