Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Selepas MCA meluluskan usul agar BN dibubarkan, belum ada mesyuarat majlis tertinggi badan itu diadakan.

Menjelaskan perkara itu Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan berkata sejak memegang jawatan tersebut daripada Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau ada mengajak MIC dan MCA bermesyuarat.

Bagaimanapun kata Mohamad kedua-dua parti tersebut mengelaknya.

"Bukan tak mahu, dia (MCA dan MIC) cuba mengelak kerana jika saya panggil, mereka tidak mahu wartawan bertanya mengenai resolusi itu dan mereka akan terperangkap di situ," katanya.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata demikian semasa menjadi tetamu forum Bicara Minda di Shah Alam hari ini.

Terdahulu Mohamad berkata, beliau pernah bertemu dengan pemimpin kedua-dua parti dan bertanyakan mengenai mesyuarat Majlis Tertinggi BN.

"Saya mesyuarat secara ad-hoc. Jumpa MCA, MIC sebab saya panggil dia (MCA dan MIC) tak mahu," katanya.

Pada 2 Disember lalu, Perhimpunan Agung MCA meluluskan resolusi menggesa BN dibubarkan dan satu membentuk pakatan baru dibentuk.

Buang bodoh sombong

Ia berlaku ketika Umno semakin akrab dengan PAS.

Mohamad juga berkata, kedua-dua parti komponen BN itu sepatutnya memperkasakan diri masing-masing tanpa berharap daripada Umno memandangkan parti itu juga dalam keadaan yang tidak stabil.

"Saya dah beritahu mereka dan rakan-rakan dalam BN, kita bukan dalam kerajaan lagi. Jadi untuk kita 'menarik beban' Umno tak mampu lagi seperti (berfungsi seperti) dulu untuk bawa beban yang besar.

"Jadi setiap parti kena berusaha untuk parti masing-masing. Itu pesan saya kepada mereka dan setiap parti kalau boleh mengukuhkan parti masing-masing," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai nasib Umno Mohamad berkata mereka perlu mengambil iktibar daripada kekalahan teruk pada PRU ke-14 lalu dengan membuang sikap bodoh sombong dan perasaan ego.

Mohamad berkata antara sebab Umno pernah bersikap sedemikian rupa ialah kerana mereka tidak pernah mendapat keinsafan disebabkan erlampau lama berkuasa.

"Memang banyak kita belajar daripada kekalahan. Pertama kita jangan sombong dengan orang - kita tak dengar cakap orang.

"Dulu kita sibuk dengan jawatan masing-masing. Kadang-kadang bukan dengan orang luar pun, dengan orang bawah pun kita tak nak dengar cakap mereka. Itu salah satu sebab kita kecundang," katanya.

Menurutnya sebelum ini Umno gagal mendengar suara orang muda sedangkan golongan itu menjadi aset kepada parti.

Katanya Umno pernah berasa serba tahu sehingga enggan mengendahkan pandangan orang lain.

Beliau juga meluahkan rasa kesalnya kerana terdapat pihak yang menyertai Umno kerana mahu mendapatkan habuan seperti kontrak, dan bukannya demi perjuangan parti.

Katanya, ia berlaku apabila parti terlalu tertumpu kepada pemimpin berbanding parti itu sendiri.

"Itu saya katakan adalah satu perkara amat malang kita dilatih supaya menjadi leader centric bukan party centric," katanya.

Tak tegah Zahid kembali jalan tugas presiden

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga berkata Zahid bebas untuk membuat kemunculan dengan mengadakan ceramah di Bagan Datuk dan melihat ia bukan perkara yang perlu diperbesarkan memandangkan beliau merupakan ahli parlimen di situ.

"Sudah seharusnya Ahmad Zahid mesti mengadakan gerak kerja di bahagian dia. Kalau tidak bahagian dia terbengkalai begitu sahaja. Tak sepatutnya begitu.

"Dia bukan ada wawancara dengan pemimpin-pemimpin PAS di luar kawasan dia. Memang saya telah minta dan arahkan supaya semua ketua bahagian, MP, Adun supaya gerakkan jentera mulai sekarang," katanya.

Zahid dijangka kembali ke pentas politik hari ini selepas hampir dua bulan bercuti daripada bertugas sebagai presiden Umno dengan menghadiri forum yang akan mengupas kerjasama antara Umno dan PAS di kawasan parlimennya.

Beliau berkata demikian apabila ditanya pandangan beliau mengenai kemunculan semula Zahid di layar politik yang didakwa kurang diterima baik oleh rakyat dan netizen.

Pada masa sama, Mohamad juga tidak menegah jika Zahid ingin kembali ke dunia politik dan ingin kembali menjalankan tugas-tugas presiden yang dipangkunya ketika ini.

"Itu dia punya haklah. Dia cakap pergi bercuti, kalau dia kata dah letih bercuti nak balik. Baliklah. Terpulang pada dia. Saya hanya menjalankan tugas presiden," katanya. 

Lihat Komen
ADS