Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin meminta supaya beberapa minit tertentu mesyuarat kabinet mengenai kes yang membabitkan Syarikat Teratai KG Sdn Bhd (Syarikat Teratai) atau Metramac, didedahkan kepada umum supaya namanya boleh dibersihkan dari sebarang dakwaan salah laku.

Daim berkata peranan aktif beliau dalam perkara-perkara yang membabitkan Metramac tamat apabila beliau meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan pada 14 Mac 1991.

"Kerajaan mengambil ketetapan tertentu dalam keseluruhan urusan membabitkan Syarikat Teratai dan DBKL. Ini akan dijawab sekiranya orang ramai boleh mendapat akses kepada kertas-kertas kabinet yang berkaitan," menurutnya dalam satu kenyataan yang disampaikan kepada media di Kuala Lumpur.

Menurut laporan Bernama, Daim berkata segala ingatannya berhubung perkara itu serta keputusan kabinet mengenai perkara tersebut, sudah berusia 15 tahun lamanya, dan beliau hanya mengingatinya berdasarkan kepada dokumen peribadinya.

"Saya tidak punyai apa-apa hak untuk memiliki sebarang dokumen kabinet. Oleh itu saya ingin meminta supaya minit-minit tertentu mesyuarat kabinet berhubung Syarikat Teratai dan/atau Metramac didedahkan," katanya.

Bayaran pampasan

Isu itu mula timbul ekoran penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan pada 12 Januari yang menetapkan bahawa Metramac Corporation, pemegang konsesi Lebuhraya Timur-Barat dan Lebuhraya Sungai Besi membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings Sdn Bhd sebagai pampasan kepada kerugian dalam hak untuk pengiklanan.

Ia adalah berikutan saman oleh Datuk Fawziah Abdul Karim dan ibunya, Maimon Bee, pemilik Fawziah Holdings, yang juga pengarah Syarikat Teratai K.G. Sdn Bhd (STKG), kini dikenali sebagai Metramac.

STKG adalah pemegang konsesi sehingga ia diambil alih oleh Metro Juara Sdn Bhd yang dimiliki hartawan Tan Sri Halim Saad dan rakan kongsinya Datuk Anuar Othman.

Dalam penghakimannya Hakim mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram mendakwa bahawa Halim dan Anuar berjaya dalam pengambilalihan itu kerana mereka mendapat sokongan Daim. Sri Ram turut mengatakan bahawa Halim dan Anuar mengambil RM32.5 juta dari Metramac.

Minggu lalu Halim mengeluarkan kenyataan yang menafikan segala tuduhan itu.

Perjanjian konsesi

Daim berkata pada 20 Nov 1987, Syarikat Teratai menandatangani perjanjian konsesi dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membina, membiayai dan menguruskan sejumlah jalanraya bertol dan persimpangan di Kuala Lumpur.

"Adalah memadai bagi saya untuk menyatakan bahawa kabinet memiliki pandangan tertentu mengenai Perjanjian Konsesi pertama yang ditandatangani antara DBKL dan Syarikat Teratai, dan ini disahkan apabila kabinet terpaksa dengan segera menyelesaikan krisis yang timbul akibat penghentian kutipan tol pada 12 September 1990 di Km 8 Cheras.

Beliau berkata perjanjian itu akan mewajibkan kerajaan membayar pampasan kira-kira RM100,000 sehari kepada Syarikat Teratai sekiranya kutipan tol dihentikan tanpa mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

"Faktor masa adalah penting sekiranya kerajaan ingin mengelak daripada kos yang besar ini. Kerajaan juga faham bahawa semasa penamatan konsesi akan mengakibatkan liabiliti kewangan yang besar kepada kerajaan, pengurangan kadar kutipan juga akan mengakibatkan kekangan kewangan yang hebat kepada pemengang konsesi," katanya.

Beliau berkata disebabkan keadaan hampir menjadi rusuhan dan bantahan memuncak sehingga membawa kepada penahanan Anggota Parlimen dari parti pembangkang, kabinet mengarahkan supaya kutipan tol digantung.

"Satu pasukan petugas yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya ditubuhkan untuk memberikan taklimat kepada kerajaan berhubung setiap aspek konsesi itu," katanya.

Daim berkata pasukan petugas itu juga diminta mengkaji kemungkinan bagi UEM untuk mengambil alih Syarikat Teratai.

UEM jadi pilihan

"Kabinet sebulat suara bersetuju bahawa lain-lain pilihan akan difikirkan. Pada masa itulah kabinet menetapkan bahawa UEM adalah pilihan mereka. Kabinet juga terpaksa memutuskan tentang satu lagi isu mendesak, iaitu kadar tol. Parti-parti yang menyokong keputusan kerajaan untuk mengenakan tol juga merasakan bahawa kadarnya perlu dikurangkan. Satu aduan yang berasas adalah tidak ada laluan alternatif bagi penduduk Cheras."

Daim berkata kemudiannya pelbagai kementerian dan agensi kerajaan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Peguam Negara dan DBKL menghadapi cabaran hebat melaksanakan kewajipan masing-masing dalam menyelesaikan isu tentang syarikat konsesi.

Beliau berkata Kementerian Kewangan diminta berbincang dengan pemegang saham Syarikat Teratai dan UEM untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Saya kemudiannya meminta setiap pihak terbabit bertemu dengan saya ekoran keputusan kabinet itu. Saya berjumpa dengan pemegang saham, termasuk Datuk Fawziah sekitar minggu pertama November 1990 semasa saya memaklumkan mereka tentang keputusan kabinet," katanya.

Beliau berkata pada 23 Januari 1991, Metro Juara Sdn Bhd menandatangani perjanjian jual beli dengan pemegang saham Syarikat Teratai bersetuju menjual pegengan mereka kepada Metro Juara Sdn Bhd dengan nilai RM97.5 juta.

"Kerajaan mempunyai tanggungjawa moral dan ekonomi untuk memastikan syarikat itu tidak menemui kegagalan. Satu jumlah pengambilalihan yang sesuai perlu dipersetujui. Tabung Haji adalah pemegang saham (SKTG). Ia menjaga kepentingan berjuta-juta penyimpan," katanya.

Tiada bantahan

Daim berkata pengarah-pengarah Syarikat Teratai tidak membantah harga pengambilalihan itu.

"Malah Datuk Fawziah pada 14 Disember 1990 menulis sendiri kepada saya, memaklumkan bahawa mereka (Syarikat Teratai dan Metro Juara) sudah mencapai persetujuan dalam semua syarat-syarat perjanjian jual beli dan meminta jasa baik saya untk menyegerakan majlis menandatangani perjanjian jual beli," katanya.

Beliau berkata ketika itu kabinet menetapkan bahawa tidak ada pampasan akan diberikan.

"Kemudiannya baru saya dapat tahu bahawa kerajaan sudah meminta Metramac meluaskan skop jalan raya dan persimpangan di Kuala Lumpur dan kemudiannya sekitar September 1991, kutipan tol kembali dibuat pada kadar yang dikurangkan," menurutnya.

Beliau berkata pada September 1991, beliau sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Harvard.

Daim berkata lama selepas itu barulah beliau dihubungi beberapa kali oleh Fawziah yang meminta bantuannya untuk menyelesaikan pertelingkahan yang sudah berlarutan antara Fawziah Holdings Sdn Bhd dan Metramac berhubung hak pengiklanan di bawah konsesi.

"Antara kedua-dua pihak, Datuk Fawziah yang berjumpa saya untuk menjadi orang tengah kepada pertelingkahan itu. Saya turuti kerana saya sentiasa berusaha untuk membantu usahawan sedaya yang mampu," katanya.