BERITA Malaysiakini

‘Sejuta ahli, ribuan Pasti, ratusan sekolah, jangan pelik pasal duit PAS’

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS terbuka dan akan memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan SPRM berkaitan siasatan terhadap dakwaan pemimpinnya menerima dana RM90 juta daripada Umno.

Bagaimanapun, kata presidennya Abdul Hadi Awang, sumber kewangan parti-parti lain juga perlu disiasat.

“Siasat juga DAP. Siasat PAN (Amanah).

“Siasat parti-parti ini dari mana mereka dapat duit belanja pilihan raya,” kata Hadi.

Kenyataannya itu dimuat naik melalui rakaman video sidang media dari Marang, Terengganu, di laman Facebook beliau sebentar tadi.

Dalam sesi itu, Hadi menegaskan sumber kewangan PAS datang daripada sumbangan anggota-anggotanya yang ramai.

Katanya, PAS mempunyai 160 kawasan di seluruh Malaysia, lebih sejuta orang anggota, mampu membuka ribuan pusat prasekolah Pasti serta ratusan sekolah.

“(Jadi) jangan peliklah dari mana PAS dapat duit,” katanya.

Beliau juga berkata kejayaan parti itu dalam pilihan raya umum lalu membuktikan “fitnah mereka gagal” terhadap parti itu.