Minda seorang pengganas, kenapa warga M’sia ini mengebom di Indonesia
Rakyat Malaysia, Taufik Abdul Halim, 43, memilih untuk menjadi pengganas atas kehendaknya sendiri dan bukan pengaruh sesiapa.
Itu pengakuan Taufik yang mengakui sedikit pun tidak menyesal dengan letupan yang dilakukan 18 tahun lepas di sebuah pusat beli-belah di Jakarta, Indonesia.
"Ia sememangnya keputusan saya sejak awal lagi.
“(Dan) Saya tidak kesal dengan apa yang berlaku,” katanya seperti dilaporkan portal berita serantau BeritaBenar.
Taufik mengaku Islam melarang mengapa-apakan wanita dan anak kecil.
Bagaimanapun, katanya, ketika serangan dibuat golongan itu turut terkena tempiasnya.
"Bukan itu yang kami mahukan tetapi sudah terkena," katanya dalam temu bual bersama BeritaBenar.
Lapan belas 18 tahun lalu, Taufik melancarkan serangan bom pertamanya di Jakarta.
Bagaimanapun, bom buatan sendiri yang disembunyikan dalam kotak berhampiran sebuah kedai donat popular itu meletup lebih awal dan menghancurkan sebahagian kaki kanannya.
Serpihan yang berterbangan mencederakan enam orang awam.
Taufik menjelaskan bom itu sepatutnya diletupkan dalam sebuah gereja di kawasan itu, bagi membunuh beberapa orang yang “menjadi pemimpin dan ejen provokasi dalam konflik puak di Maluku”.
Taufik difahamkan merujuk kepada pertempuran maut, termasuk di beberapa daerah ibu kota Ambon, pada akhir 1990-an.
Selain Taufik, abang iparnya Zulkifli Hir turut dilaporkan terlibat dalam kegiatan keganasan.
Zulkifli yang turut sebagai Marwan disyaki mengetuai kumpulan pengganas, Kumpulan Militan Malaysia dan terbunuh pada 2015 dalam serbuan di selatan Filipina.
Adik Marwan, Rahmat Abdhir, pula dipenjarakan di Amerika Syarikat pada 2008 kerana membiayai kegiatan keganasan, menurut laporan berita.
Sepupu Marwan, Mohamad Nazir Lep, ahli kumpulan militan, Jemaah Islamiyah dan al-Qaeda, juga merupakan seorang daripada dua rakyat Malaysia yang masih ditahan di kem tahanan Guantanamo Bay.

