Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib mohon tangguh pendengaran kes SRC International

Pihak pembelaan Najib Razak hari ini memfailkan permohonan penangguhan terhadap pendengaran bagi tujuh pendakwaan berkaitan SRC International Sdn Bhd, yang dijadual bermula Selasa ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Permohonan dibuat di Mahkamah Rayuan. Mereka juga memfailkan sijil kesegeraan (certificate of urgency) agar permohonan itu akan didengar Isnin ini.

Ketika dihubungi, peguam bekas perdana menteri itu Havinderjit Singh mengesahkan permohonan itu.

Semalam, ketua peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa notis rayuan telah difailkan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali untuk meneruskan perbicaraan pada 12 Februari (Selasa), setelah menolak permohonan lisan untuk penangguhan itu.

Ia di sebalik tindakan Peguam Negara Tommy Thomas menarik balik permohonan agar kes itu dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, mengikut Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah.

Thomas membuat keputusan itu berdasarkan keputusan kes Semenyih Jaya Sdn Bhd dan M Indira Gandhi, yang memberikan Mahkamah Tinggi kuasa untuk membuat keputusan.

Sumber Pejabat Peguam Negara memberitahu Malaysiakini bahawa langkah untuk menarik balik permohonan itu adalah untuk memastikan tiada sebarang masalah berlaku berkenaan kes Najib jika ia sampai ke peringkat Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, justeru menjadikannya boleh digugurkan atas sebab teknikal.

"Susulan ini, langkah oleh Peguam Negara untuk menarik balik permohonan Seksyen 418A dibuat untuk memastikan tiada masalah akan muncul di masa akan datang," kata sumber itu yang enggan namanya didedahkan.

Walaupun dengan penarikan semula itu, Nazlan memutuskan untuk mendengar kes yang telah ditetapkan lebih awal, berbanding hujahan pihak pembelaan bahawa ia patut dibawa semula ke Mahkamah Sesyen dan untuk pendaftar Mahkamah tinggi memutuskan hakim yang akan mendengarnya.

Muhammad Shafee Abdullah

Ia menyebabkan notis rayuan difailkan terhadap keputusan Nazlan, seperti yang dinyatakan Shafee, yang juga mahu perkara ini didengar dan diputuskan di Mahkamah Rayuan.

Najib hari ini didakwa semula atas tiga tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta di Mahkamah Sesyen.

Ia menjadikan jumlah tuduhan terhadapnya setakat ini kepada 42 tuduhan.

Belum diketahui sama ada kes SRC International, perbicaraan pertama sejak Najib pertama kali didakwa pada 4 Julai lalu, akan diteruskan atau tidak.

Najib didakwa dengan tujuh tuduhan pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa dalam kes SRC International.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS