Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

SPRM telah mengambil keterangan bekas Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan berhubung dakwaan pemimpin PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno ketika Najib Abdul Razak menjadi perdana menteri.

Satu sumber yang mengetahui siasatan itu memberitahu Malaysiakini bahawa Ambiga mengadap SPRM semalam berkenaan isu tersebut.

Namun, tidak pasti apakah pihak polis sudah mengambil keterangan beliau.

"Keterangan Ambiga dirakam berhubung dakwaan oleh (Editor Sarawak Report) Clare (Rewcastle-Brown)," tambah sumber tersebut yang enggan menjelaskan lagi.

Ambiga turut terlibat dalam isu dana tersebut selepas Rewcastle-Brown menamakan beliau sebagai sumber kepada artikel yang mendakwa pemimpin PAS menerima dana sebagai pertukaran sokongan mereka di pilihan raya yang lalu.

Editor Sarawak Report tersebut mendedahkan maklumat Ambiga ketika memfail hujah balas beliau terhadap saman fitnah oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada Oktober 2017.

Ini membuka ruang kepada PAS menekan Ambiga untuk menjelaskan, di mana beliau membalas bahawa PAS sengaja menyembunyikan gambaran lebih besar berkenaan dakwaan Rewcastle-Brown. 

Bagaimanapun, Hadi bersetuju untuk selesaikan saman tersebut di luar mahkamah yang difailkan di London.

Dalam pada itu, Sinar Harian melaporkan bahawa Mohd Amar Nik Abdullah, Naib Presiden PAS menggesa SPRM untuk menyiasat Ambiga sekali.

"Jangan lepaskan Ambiga, SPRM mesti menyiasat kebenaran sumber dan maklumat yang beliau sampaikan (kepada Rewcastle-Brown).

"Ini adalah satu fitnah yang sengaja dicipta untuk menggulingkan PAS dan pemimpinnya," tambah beliau.

Dalam pada itu, satu laporan polis baru dibuat terhadap Ambiga oleh seorang penulis blog propembangkang di Kuala Lumpur, pagi tadi.

Untuk rekod, SPRM sedang menyiasat satu laporan terhadap dakwaan dana RM90 juta, yang dinafikan oleh PAS dan Najib masing-masing.

Lihat Komen
ADS