Amanah terdesak tutup kelemahan sendiri, kata PAS Melaka
Laporan polis yang dibuat Parti Amanah Negara (Amanah) terhadap Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamarudin Sidek adalah langkah terdesak parti itu menutup kelemahan mereka dalam urus tadbir kerajaan negeri.
Ketua Pemuda PAS Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata laporan itu juga bagi menghalang tindakan pemimpin Amanah yang menjadikan jabatan atau agensi kerajaan untuk kepentingan politik kepartian mereka terbongkar.
"Sikap ini juga bermakna cuba menutup kemungkinan salah laku dan ketidaktelusan integriti.
"Paling nyata adalah ikrar untuk membebaskan institusi rakyat dari pengaruh atau campur tangan politik hanyalah janji kosong.
"Sedangkan PAS selaku parti bukan kerajaan hanya bertindak bagi tujuan hisbah atau semak dan imbang," katanya dalam satu kenyataan.
Rabu lalu, Amanah membuat lima laporan polis terhadap Kamaruddin kerana didakwa memfitnah Majlis Agama Islam Melaka (Maim) serta kerajaan negeri.
Timbalan Pengerusi Maim Mohd Sofi Abdul Wahab berkata laporan itu dibuat susulan kenyataan Kamarudin dalam satu ceramah berhubung isu pelantikan jawatankuasa masjid dan isu tabung masjid.
Antara lain Kamarudin mendakwa derma infak orang ramai di masjid akan diambil alih Maim, sekali gus jawatankuasa masjid tidak boleh mengurus sendiri kutipan tabung.
Selain itu Kamarudin turut mendakwa jawatankuasa masjid di Melaka sudah lapan bulan tidak berfungsi sejak diambil alih kerajaan baru.
Menurut Ahmad sekiranya dakwaan Kamarudin itu fitnah, beliau mempersoalkan mengapa pemimpin Amanah sendiri tidak bertemu rakyat dan menyelesaikan isu pengurusan masjid di negeri itu.
Ini kerana katanya kariah masjid di Melaka sendiri merasai dan mengalami masalah yang dibangkitkan Kamarudin.
"Amalan, tradisi atau rutin di masjid atau kariah penduduk yang telah mapan sekelian lama sedang diusik oleh tangan-tangan politik. Jangan bodohkan rakyat di era kecelikan politik terbuka kini.
"Secara tidak langsung, tindakan pihak kerajaan itulah bersifat mempolitikkan masjid kariah yang merupakan institusi rakyat dan tunjang kekuatan umat Islam di negeri," katanya.

