Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bakal jadi TPM? Tak tahu, saya kena bius, kata Azmin

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali menafikan khabar angin mengatakan beliau akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri melalui rombakan kabinet yang dikatakan akan berlaku selepas cuti Tahun Baru Cina.

"Saya tak tahu, masa tu saya tengah kena bius," katanya sambil ketawa.

"Saya kena bius selama empat jam. Jadi saya tak pasti apa yang berlaku di luar. Tapi bagi saya tujuan saya kembali segera bertugas adalah untuk tumpu soal ekonomi negara.

"Itu saya kata (dan) semalam pun saya dah kembali bertugas," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas satu majlis anjuran PKR di Subang Jaya hari ini.

Azmin kini dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan akibat penyakit batu hempedu dihadapinya di hospital Gombak.

Awal minggu ini, tulisan di sebuah blog mendakwa bekas menteri besar Selangor itu akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri selepas Tahun Baru Cina. 

Ini mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai hasrat PH sebelum ini agar  presiden PKR, Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri kelapan.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun menafikan khabar angin mengenai rombakan kabinet itu dan menyifatkan ia sebagai berita palsu.

Bantu jentera di Semenyih

Sementara itu Azmin berkata beliau bersedia membantu jentera Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil Semenyih meskipun kini masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan.

"Saya akan berkampung di Semenyih. Sebab Semenyih adalah sebahagian dari Selangor dan Selangor dekat di hati saya. 

"Saya sudah sihat. Badan saya sudah ringan, saya mudah bergerak," kata.

Mengulas mengenai tahap kesihatannya, Azmin berkata para doktor tidak begitu gembira melihat perkembangan beliau yang terlalu aktif sejak keluar daripada hospital Rabu lalu.

"Tetapi selagi saya tak memaksa diri, dan mengambil ubat yang tepat, Insya Allah saya baik-baik saja. Saya hilang berat badan, saya hilang 10kg. Hari ini bila timbang 79kg. Jadi nampak muda lima tahunlah," katanya.

Diminta mengulas mengenai kerjasama Umno dan PAS menjelang pilihan raya Semenyih, Azmin berkata ia mungkin sebahagian daripada strategi pilihan raya pembangkang.

Bagaimanapun beliau berkata PH telah membuktikan kepada rakyat selangor bahawa pembangunan di negeri itu telah memberikan manfaat kepada mereka.

"Sekarang adalah masa untuk kita kembali, mendekati pengundi. Pastikan mereka masih bersama kita dan faham keadaan kita sebagai kerajaan persekutuan.

"Terdapat isu-isu legasi yang perlu kita hadapi, tetapi Insya Allah semuanya kembali ke landasan yang asal," katanya.

Lihat Komen
ADS