Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Johor kepada Osman: Tunjuk ijazah asli atau letak jawatan
Diterbitkan:  Feb 9, 2019 10:09 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

Pemuda Umno Johor hari ini mendesak menteri besar negeri itu Osman Sapian agar menunjukkan ijazah asli yang diperolehinya daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Kami mendesak Osman tampil membersihkan tuduhan terhadapnya dengan menunjukkan bukti sijil ijazah asli ketika belajar di UPM.

"Jika gagal menunjukkan bukti, kami minta beliau untuk mengaku telah mengkhianati dan menipu rakyat negeri ini, sekali gus dipersilakan untuk berundur melepaskan jawatan sebagai menteri besar segera," kata ketua penerannya Johan Azim Mohd Yasin dalam kenyataan.

Ia susulan dakwaan di media sosial bahawa pengerusi Bersatu Johor itu berbohong memiliki ijazah perakaunan dari universiti itu.

Dakwaan terhadap Osman itu disertakan tangkap layar yang menunjukkan nama Osman tidak ditemui dalam carian di laman rasmi UPM.

Namun ia hanyalah carian umum dan bukan khusus berkenaan bekas penuntut universiti itu.

Profil Osman di laman web rasmi kerajaan Johor menyatakan beliau mendapat diploma dan ijazah perakaunan dari Universiti Pertanian Malaysia (nama lama UPM) tetapi tidak menyatakan tahun pengajian.

Ketika ditanya berhubung dakwaan tersebut hari ini, beliau dilaporkan hanya tersenyum tanpa menjawab soalan yang dibangkitkan wartawan.

Johan menyifatkan pemalsuan kelayakan akademik sebagai "kesalahan besar oleh individu yang tiada integriti".

“Amatlah memalukan seorang menteri besar tidak jujur terhadap diri sendiri dan rakyat serta sanggup melakukan perkara yang jijik sebegini.

“Sehingga saat ini, beliau (Osman) masih belum menjawab isu ini,” katanya lagi.

Sinar Harian hari ini melaporkan UPM akan membuat semakan sama ada Osman merupakan graduan universiti itu.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Prof Dr M Iqbal Saripan dilaporkan berkata bahawa UPM tiada diploma perakaunan tetapi Osman mungkin mengikuti program lain di fakulti ekonomi universiti itu.

Lihat Komen
ADS