Pendakwah bebas Dr Zamihan Mat Zin hari ini membalas kritikan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam sebuah forum berkaitan keganasan semalam.

Beliau berkata kenyataan itu sebagai tidak berasas dan menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang.

Beliau merujuk laporan Malaysiakini semalam, yang antara lain memetik Asri menyifatkannya sebagai penasihat agama yang berperawakan keras dan berpandangan ekstrem.

"Setelah diteliti ternyata posting (artikel) berkenaan memuatkan kenyataan fitnah dan berunsur prejudis terhadap saya.

"Saya sudah menyerahkan beberapa data dan maklumat penting kepada peguam saya untuk mengambil tindakan perundangan terhadap pihak berkenaan," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Dalam forum semalam, Asri membangkitkan isu dobi untuk Muslim yang timbul pada 2017, dengan mengatakan Zamihan berfikiran sempit kerana menyokongnya.

Zamihan ketika itu berkata ia merupakan pandangan peribadi dan bagi memastikan kesucian pakaian orang Islam.

Selain isu itu, Asri sekali lagi mempersoalkan kelayakan Zamihan yang menjadi pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis Jabatan Penjara sebelum ini.

Dalam pada itu, Zamihan berkata beliau "berlepas diri daripada dakwaan tidak berasas, fitnah dan berniat jahat oleh mufti Perlis dan Malaysiakini".

"Semoga Allah menyerlahkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan yang sengaja dicetuskan oleh makhluk perosak agama," katanya lagi.