Terjemahan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar meletakkan kesalahan berhubung skandal wanita bogel ketuk ketampi dalam tahanan polis, di atas bahu dua pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Teresa Kok.

Oleh itu, beliau enggan menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar kepadanya oleh gabungan badan bukan kerajaan Barisan Bertindak Terhadap Campurtangan Politik dalam Media' berkaitan isu tersebut.

Sebaliknya, katanya Ketua Pembangkang Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang sepatutnya menerima surat tunjuk sebab itu kerana 'mencetuskan kekecohan' berhubung isu tersebut.

Gabungan badan bukan kerajaan itu telah menyerahkan surat tunjuk sebab itu ke pejabat Noh di Putrajaya semalam.

Gabungan itu, antaranya, meminta Noh menjelaskan mengapa beliau tidak memperbetulkan identiti wanita dalam skandal tersebut apabila empat akhbar China Press, Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times melaporkannya wanita sebagai rakyat China.

Mereka juga bertanya kepada Noh sama ada identiti wanita tersebut yang kemudiannya disahkan bangsa Melayu tempatan sengaja dirahsiakan.

Timbalan Menteri itu diberi tempoh 10 hari untuk menjawabnya dan jika gagal, beliau didesak supaya meletakkan jawatan.

Isu panas

Bercakap kepada pemberita di Pulau Pinang semalam, Noh meletakkan kesalahan itu sepenuhnya ke atas DAP.

Menurut laporan akhbar Sin Chew Daily, Noh berkata, campurtangan parti-parti pembangkang telah menjadikan skandal satu isu panas.

Teresa telah mendedahkan klip video mengenai wanita tersebut melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel dalam tahanan di balai polis daerah Petaling Jaya.

Klip tersebut telah menggempar seluruh negara, sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarah ditubuhkan suruhanjaya bebas untuk menyiasat kejadian tersebut.

Skandal itu juga mengakibatkan dua pengarang akhbar China Press menerima tekanan supaya meletakkan jawatan tindakan yang dianggap oleh kumpulan rakyat prihatan sebagai percubaan 'menutup mulut' akhbar.

Chinese Press akhbar pertama yang mendedahkan berita tersebut dikenakan tindakan kerana melaporkan wanita tersebut sebagai warganegara China.

Persoalan juga ditimbulkan mengapa hanya China Press sahaja yang menjadi sasaran sedangkan akhbar harian lain juga turut melaporkan perkara yang sama tetapi terlepas daripada tindakan.

Syarat kementerian

Sementara itu, Noh berkata dua editor tersebut perlu meletakkan jawatan kerana mereka mesti bertanggungjawab terhadap kesilapan dalam laporan itu.

Kementerian, tambahnya, mengeluarkan permit kepada akhbar bersama syarat-syarat tertentu yang mesti mereka patuhi dan mana-mana akhbar yang membuat kesilapan, seperti China Press, mesti memikul akibatnya.

Katanya, kesilapan tersebut telah terbukti dan telah mengelirukan orang ramai, maka beliau menganggapkan perkara itu sudah selesai, dan tidak perlu lagi membuat sebarang penjelasan lanjut.

Di kemuncak skandal tersebut, Noh menjadi sasaran sehingga menerima teguran dari Perdana Menteri kerana menyuruh orang asing yang tidak senang tinggal di sini supaya pulang ke tanahair mereka.

Noh bagaimanapun menyalahkan pihak media yang menurutnya telah menyalahtafsirkan kenyataannya berkaitan perkara itu. Berita asal