Senator bukan lagi 'rubber stamp' - Syed Ali
Datuk Syed Ali Alhabshee menolak tanggapan banyak pihak yang menganggap Senator tidak lebih daripada "rubber stamp".
Datuk Syed Ali Alhabshee menolak tanggapan banyak pihak yang menganggap Senator tidak lebih daripada "rubber stamp".
Setiausaha Agung Kelab Senator Malaysia itu berkata, Senator mempunyai peranan sendiri dan ia seiring dengan peranan yang dimainkan oleh Ahli Parlimen.
Bagaimanapun, katanya Senator bukanlah sekadar untuk mengesahkan sebarang keputusan yang telah dibuat oleh Dewan Rakyat.
"Kami ada maruah dan setiap perbahasan dibuat dengan bersungguh-sungguh dan disertakan dengan fakta yang lengkap dan tepat.
"Kami bukan mahu mencari populariti atau menjadikan jawatan itu sebagai landasan mendapat kedudukan yang lebih baik," katanya ketika ditemui malaysiakini di pejabatnya di Cheras dekat Kuala Lumpur baru-baru ini.
Buat keputusan
Berikut adalah wawancara penuh mengenai peranan dan tanggungjawab Senator di dalam masyarakat.
Malaysiakini (MK): Apakah benar bahawa senator menjadi "rubber stamp" kepada keputusan yang telah dibuat oleh Dewan Rakyat?
Syed Ali (SA): Dulu "rubber stamp". Tetapi di bawah presiden sekarang iaitu Datuk Hamzah Zainuddin, kami bersuara lantang untuk memperjuang sesuatu isu. Kami lantang kerana mahu membela hak dan kebajikan masyarakat.
Dewan Negara pernah menolak satu usul iaitu mengenai makhluk perosak sehingga Kementerian Pertanian terpaksa meminda dan membentang usul itu sekali lagi di Parlimen sebelum diluluskan.
MK: Senator hanya kuat bersuara tetapi ia tidak diendah kerana mutu pendebatan yang rendah. Bagaimanakah untuk mengatasi masalah ini?
SA: Untuk mengatakan Senator tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan ia kenyataan yang tidak tepat. Senator datang dari pelbagai bidang peguam, ahli perniagaan, jurutera dan sebagainya.
Ini bermakna jika usul ekonomi, Senator berkelulusan perniagaan yang membahaskan usul tersebut. Begitu juga dengan isu pendidikan, wanita dan sebagainya.
MK:Taraf Senator lebih rendah jika dibandingkan dengan Ahli Parlimen. Mengapa timbul anggapan sedemikian?
SA: Ahli Senator dalam Dewan Rakyat berjumlah 70 hingga 80 orang, jadi mungkin orang menganggap suara kami tidak perlu didengar. Tetapi ramai yang tidak sedar bahawa sesetengah mutu pembahasan Senator lebih baik dari Ahli Parlimen.
Tidak adil untuk mengadakan siapa yang lebih baik dan siapa yang kurang baik. Bagi saya kedua-dua belah pihak memainkan peranan masing-masing.
MK: Siapakah yang melantik Senator dan apakah kriteria yang digunakan?.
SA: Kuasa melantik terletak di tangan kerajaan negeri. Setiap negeri boleh melantik dua Senator untuk maksima selama dua penggal atau enam tahun.
Perlantikan seseorang Senator perlu mendapat tauliah dari Yang di-Pertuan Agong. Kriteria yang digunakan bergantung kepada kerajaan negeri yang terbabit. Tetapi kriteria yang selalu digunakan ialah kebijaksanaan dan kematangan yang ada pada Senator itu.
MK: Apakah benar jawatan Senator memberi ruang untuk menjadi ahli Parlimen atau ahli politik sepenuh masa?
SA: Sesetengah Senator merupakan merupakan ahli politik sepenuh masa. Saya sendiri menghambakan diri kepada politik melalui Umno. Sama ada mereka akan dipilih untuk bertanding kerusi Parlimen bergantung kepada parti masing-masing.
MK:Apakah isu yang hangat dibincangkan dalam Dewan Rakyat kebelakangan ini?
SA: Sudah tentu isu Penerbangan Malaysia (MAS). Senator Datuk Kamaruddin Ambok yang membangkitkan isu menentang cadangan MAS hendak menjual bangunan mereka di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
MK: Bagaimana dengan Datuk? Maksudnya adakah anda bercita-cita mendapat jawatan yang lebih tinggi dalam politik?
SA: Jawatan Senator saya akan tamat pada bulan April ini. Kini terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sama ada mahu menyambung tugas saya untuk sepenggal lagi.
Saya adalah ahli politik sepenuh masa. Saya mencurah bakti kepada rakyat melalui bakti kerana ketika ini saya memegang jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Cheras. Selain itu saya juga diberi tanggungjawab sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan.
Andainya saya tidak memegang sebarang jawatan sekalipun, saya tetap berkhidmat kepada rakyat. Tidak semestinya kita perlu memegang jawatan baru hendak berkhidmat. Bagi saya cara itu bukan ahli politik yang tulen.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.