Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata beliau akan meneliti aduan yang dibuat oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah terhadap perilaku Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram.

"Apa yang ditulisnya mengenai perilaku itu, saya akan teliti," katanya kepada pemberita berhubung surat yang dihantar oleh Muhammad Shafee kepada beliau dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abdul Malek Ahmad Selasa lalu, yang mengadu mengenai apa yang didakwanya sebagai salahlaku Sri Ram semasa membuat penghakiman dalam kes rayuan oleh Fawziah Holdings Sdn Bhd terhadap syarikat pemegang konsesi tol, Metramac Corporation, yang diwakili peguam berkenaan.

Dalam penghakimannya pada 12 Januari lalu, Sri Ram berkata tokoh korporat Tan Sri Halim Saad dan rakan niaganya Datuk Anuar Othman memperolehi RM32.5 juta daripada Metramac selain menikmati naungan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri Sri Ram, Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Datuk Hashim Yusoff bersetuju bahawa surat yang dihantar oleh Muhammad Shafee itu boleh dianggap satu penghinaan mahkamah, dan mengarahkan peguam itu hadir ke mahkamah itu pada 23 Februari ini bagi berhujah kenapa prosiding menghina mahkamah tidak boleh dikenakan terhadapnya.

Menurut laporan Bernama, Ahmad Fairuz berkata sesiapa saja boleh membuat aduan mengenai perilaku mana-mana hakim tetapi perkara itu tidak boleh dibincangkan secara terbuka.

"Ia hanya boleh dibincang di Parlimen jika dua pertiga daripada anggotanya bersetuju," katanya.

Ketika ditanya sama ada tindakan boleh diambil terhadap Sri Ram jika aduan dalam surat itu benar, Ahmad Fairuz berkata: "Saya diberitahu ada kes mengenai penghinaan mahkamah terhadap Datuk Shafee pada 23 Februari, oleh itu saya tak boleh ulas kerana ia subjudis."

Beliau berkata, dalam surat itu, Muhammad Shafee mencadangkan supaya satu panel hakim yang lain dibentuk untuk menimbang permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman berhubung kes melibatkan Metramac.

Bersikap profesional

"Dalam bidang penghakiman, kita tak boleh arah hakim dalam perkara-perkara yang melibatkan soal membuat keputusan kerana badan kehakimam adalah bebas.

"Saya tengok ini adalah dalam kuasa Presiden (Mahkamah Rayuan). Saya tak boleh arah Presiden itu dalam bidang kuasa dia," kata Ahmad Fairuz.

Pada 12 Januari, Mahkamah Rayuan mengarahkan Metramac Corporation Sdn Bhd, pemegang konsesi Lebuh Raya Lingkaran Timur-Barat dan Lebuh Raya Sungai Besi supaya membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings Sdn Bhd sebagai ganti rugi kerana kehilangan hak pengiklanan.

Pada 18 Januari, Metramac mengemukakan permohonan menangguhkan pelaksanaan penghakiman. Kes itu akan didengar pada 23 Februari ini.

Ahmad Fairuz berkata orang ramai boleh mengulas keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

"Yang mana yang kalah tu (akan kata) hakim tu semua tak baguslah. Mereka akan cari kesalahan hakim. Yang mana menang tu dia puji melambung hakim. Inilah yang sedang berlaku," katanya.

Dalam mempertahankan para hakim, Ahmad Fairuz berkata mereka semuanya bersikap profesional.

"Hakim-hakim saya dilatih membuat keputusan berdasarkan kepada keterangan dan undang-undang, dan bukannya mengambil kira ulasan yang dibuat dalam media," katanya.