Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
AG akan mohon presiden mahkamah rayuan percepatkan rayuan Najib

Peguam Negara Tommy Thomas hari ini memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau akan menulis kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Ahmad Ma'arop, supaya mahkamah menetapkan tarikh awal untuk mendengar perbicaraan rayuan Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu, pada 8 Februari lalu memfailkan permohonan penangguhan kerana ingin mencabar kesahihan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menerajui panel dalam kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Ini susulan keputusan tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Ahmadi Asnawi semalam yang membenarkan permohonan penangguhan sementara mahkamah mendengar dan memutuskan rayuan Najib berhubung tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindah kes berkenaan.

Sementara itu, Nazlan memaklumkan pihak pendakwaan yang diketuai oleh Thomas dan peguam bela Muhammad Shafee Abdullah bahawa beliau akan membekalkan rekod rayuan kes itu untuk disiapkan pada Jumaat ini, dalam usaha untuk mempercepatkan rayuan itu.

Hakim kemudiannya menetapkan Jumaat depan, iaitu 22 Februari sebagai tarikh pengurusan kes dan mengekalkan tarikh perbicaraan sedia ada bagi kes SRC International yang ditetapkan sehingga 31 Mac, tanpa dua minggu pertama iaitu 12 Februari hingga 22 Februari.

Keputusan hari ini dibuat selepas Thomas dan Shafee memaklumkan kepada Nazlan keputusan penghakiman semalam untuk menangguhkan prosiding.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Peguam Negara (AG) Tommy Thomas mahu perbicaraan kes Najib Razak berhubung tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, berjumlah RM42 juta, dimulakan pada 25 Feb.

Thomas memaklumkan Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau akan menghantar sepucuk surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan (COA) tengah hari ini supaya dipercepatkan pendengaran rayuan Najib berhubung penarikan balik sijil pemindahan tujuh pertuduhan terhadapnya oleh pihak pendakwaan.

Thomas berkata pihak pendakwaan akan meminta Mahkamah Rayuan supaya menyegerakan pendengaran rayuan itu seawal mungkin dan akan menghantar surat kepada Presiden COA untuk mendapatkan tarikh pendengaran awal.

“Sekiranya mereka (pembelaan) jujur dan ikhlas dalam rayuan mereka, kenapa mereka mahu menangguhkan perbicaraan. Kami (pendakwaan) tidak mahu menangguhkan perbicaraan ini,” katanya ketika kes itu disebut dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Thomas berkata hari ini sepatutnya merupakan hari pertama perbicaraan kes SRC Najib, bagaimanapun ia ditangguhkan semalam apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga kes rayuannya selesai.

Thomas turut memohon supaya dilapangkan tarikh perbicaraan itu, yang telah ditetapkan mulai hari ini sehingga 22 Feb, dan meminta mahkamah supaya mengekalkan tarikh perbincaraan yang ditetapkan sebelum ini, iaitu dari 25 hingga 28 Feb dan 4 hingga 29 Mac.

"Kami yakin rayuan itu boleh diselesaikan sebelum minggu depan,” katanya.

Mohd Nazlan menetapkan 22 Feb untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak mengemaskini perkembangan rayuan itu di Mahkamah Rayuan.

Di luar mahkamah, peguam V Sithambaram, yang dilantik untuk membantu pasukan pendakwaan, memberitahu pemberita bahawa pihak pendakwaan akan mengutus surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan (COA) untuk mendapatkan tarikh pendengaran awal kerana kes itu membabitkan kepentingan awam.

"Kami harap Presiden COA akan segera menetapkan tarikh bagi pendengaran rayuan itu. Pihak pendakwaan yakin perbicaraan kes ini akan diadakan dari 25 Feb hingga penghujung Mac,” katanya.

Semalam, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga selesai kes rayuannya berhubung keputusan Mohd Nazlan yang membenarkan pihak pendakwaan menarik balik sijil untuk memindahkan tujuh pertuduhan SRC terhadap Najib.

Najib memfailkan notis rayuan pada 7 Feb lepas bersama-sama sijil kesegeraan supaya kes itu didengar dengan segera.

Pada 4 Julai tahun lepas, Anggota Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk sogokan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lepas, beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah dana yang sama.

Najib, yang diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah, hadir di mahkamah hari ini.

Lihat Komen
ADS