Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Nama Altantuya disebut dalam kertas siasatan pendakwa raya Perancis'

Nama Altantuya Shaariibuu disebut dalam kertas siasatan pendakwa raya Perancis berhubung skandal Scorpene, kata peguam hari ini.

"Namanya (Altantuya) disebut (dalam kertas siasatan), meskipun pihak berkuasa Perancis tidak menyiasat kes pembunuhan itu... Namun mereka tetap berminat dengan kes itu," kata Apolline Cagnat kepada pemberita pada sidang media di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Cagnat merupakan salah seorang dari individu syarikat yang berhubung dengan NGO Suaram yang akan mencabar di mahkamah Perancis berhubung kemungkinan berlaku rasuah dalam urusan pembelian Scorpene.

"Kami tahu dia (Altantuya) datang (ke Perancis) kami faham dia mempunyai peranan sebagai penterjemah dalam rundingan Scorpene.. Tapi peranannya perlu dijelaskan," katanya.

Menurut keterangan kesaksian mahkamah, Altantuya berada di Paris sekitar 2005, bersama kekasihnya ketika itu, Abdul Razak Baginda - individu yang menerima RM137 juta dalam urusan pembelian Scorpene.

"Arkitek" urusan jual beli Scorpene, Jasbir Singh Chahl, bagaimanapun sebelum ini berkata Altantuya tidak pernah terlibat dalam kontrak ataupun sebagai penterjemah untuk urusan jual beli pada 2002 itu. Razak belum berjumpa Altantuya ketika itu.

Aktivis antirasuah yang juga merupakan bekas anggota Suaram, Cynthia Gabriel menjelaskan nama Altantuya disebut berhubung urusan perkhidmatan selepas penjualan.

"(Nama Altantuya disebut) untuk kontrak (perkhidmatan) kedua. Jika anda lihat pada garis masa, ia konsisten menunjukkan bahawa peranannya kemungkinan adalah bagi perkhidmatan selepas penjualan. Perkara itu perlu siasatan lanjut," kata Gabriel.

Malaysiakini sudah menghubungi Razak untuk mendapatkan ulasan.

Altantuya dibunuh di Malaysia pada 2006. Dua sepupu mendiang sebelum ini memberi keterangan di mahkamah bahawa Altantuya datang ke Malaysia untuk mengutip bayaran daripada Abdul Razak untuk khidmat terjemahan.

Salah seorang sepupunya, Namiraa Gerelmaa berkata, kerja terjemahan berkenaan adalah berkaitan urusan pembelian kapal selam yang didakwa melibatkan kerajaan Malaysia.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS