Bekas guru tadika M Indira Gandhi mendesak Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun mendedahkan status terkini pencarian anak bongsunya kepada umum.

Menurutnya, orang ramai mulai sangsi dengan kecekapan pihak polis kerana masih gagal mengesan Prasana Diksa yang berusia 11 tahun dan bapanya, Muhammad Riduan Abdullah.

"Saya minta pihak polis supaya mendedahkan status terkini kes ini kepada umum atau sekurang-kurangnya kepada saya. 

"Dah 10 tahun berlalu. Pihak polis masih tidak dapat mengesan anak saya. Ini sangat mengecewakan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Tambahnya, beliau mula hilang keyakinan terhadap pihak polis kerana gagal menyelesaikan kes itu yang telah berlarutan sejak 2014.

Prasana dilarikan kira-kira 10 tahun lalu oleh Riduan Abdullah, seorang mualaf setelah menukarkan agama anak-anaknya kepada Islam pada tahun 2009. 

Kes ini mencetuskan perbicaraan panjang melibatkan mahkamah syariah dan mahkamah sivil. 

Mahkamah Tinggi kemudian pada tahun 2014 mengeluarkan waran tangkap ke atas Riduan.

Bagaimanapun pada 14 Jan lalu Mohamad Fuzi berkata polis setakat ini masih gagal mengesan lokasi anak perempuan dan bekas suami Indira Gandhi.

Pada 29 Jan lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan pasangan yang memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur.

Menurut Indira, anaknya 'dirampas' daripadanya ketika berusia 11 bulan dan sejak itu tidak pernah menemuinya walaupun sekali.

"Saya harap pihak polis perlu memberi status terkini kes anak saya. Sebagai ibu saya mempunyai hak untuk mengetahuinya. 

"Saya juga ingin tahu apakah cara yang digunakan oleh pihak polis untuk mencari anak saya," katanya.