Pemuda PAS hari ini menafikan laporan polis yang dibuat terhadap DAP mengenai dana yang diterimanya bertujuan mengalihkan perhatian daripada isu rakaman audio Anggota Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.

Naib ketua Dewan Pemuda Wilayah Persekutuan, Ubaid Abd Akla berkata laporan polis itu dibuat berdasarkan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam di Terengganu, supaya pihak berkuasa melakukan tindakan susulan berhubung pendedahan tersebut.

"Itu (rakaman audio Nik Abduh) saya rasa isu lain. Ini rentetan daripada semalam (kenyataan Hadi).

"Semalam tuan guru presiden sebut DAP pun terima dana ni, jadi kenapa tak siasat DAP? (Dana) DAP terima ni dana luar. Dan PAS ni belum tentu lagi (terima dana RM90 juta)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi hari ini.

Selain itu katanya laporan tersebut dibuat berikutan tiada tindakan susulan dari pihak polis selepas tiga individu mendedahkan DAP menerima dana RM300 juta dari negara luar termasuk Israel.

"Ini (dana DAP) dah disahkan lagi International Republican Institute (IRI) secara terbuka," kata Ubaid.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada laporan polis terhadap DAP dibuat bagi mengalihkan perhatian mengenai isu rakaman audio Nik Abduh yang mengakui PAS menerima dana daripada Umno.

Ini selepas pimpinan PAS baru-baru ini mengesahkan suara dalam rakaman audio berkenaan adalah suara Nik Abduh.

Menurut Ubaid, antara yang telah membuat pendedahan dakwaan berhubung penerimaan dana tersebut ialah bekas setiausaha politik ketua menteri Pulau Pinang Mohamad Razali Abdul Rahman, bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten Abdul Rahmat Omar Haniff dan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Rashid Abdul Rahman.

"Hal ini sulit dan menyalahi integriti undang-undang yang menyalahi tujuan politik yang mendatangkan ancaman terhadap kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara.

"Sumber yang diterima ini dari negara luar yang mana sumber ni pastinya mempunyai agenda tersendiri," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata PAS tidak merancang untuk melakukan sebarang bantahan atau himpunan sempena hari kekasih esok, apabila ditanya sama ada parti itu bercadang untuk berbuat demikian.

"Setakat ni tak ada rancangan lagi. Cuma orang Islam tak sambut perayaan bukan Islam. Samalah orang bukan Islam pun tak sambut perayaan Islam," katanya.