Guan Eng: Saya tetap kecam kenyataan 'rogol' Shabudin
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang pernah melabelkan Shabudin Yahaya sebagai “raksasa” tetap dengan pendirian mengecam kenyataan ahli parlimen Tasek Gelugor itu yang mencadangkan agar mangsa rogol mengahwini pelakunya sebelum ini.
Menurut Lim yang juga adalah menteri kewangan, pendiriannya itu kekal meskipun Shabudin menyertai Bersatu semalam, iaitu parti komponen Pakatan Harapan (PH).
"Itu saya kecam dan hari ini saya tetap kecam juga. Saya tidak tahu sama ada Shabudin masih berpegang dengan pendirian ini atau tidak. Soalan ini perlu dijawab olehnya sendiri.
"Pada saya, sesiapa mempunyai pendirian seumpama ini iaitu mangsa rogol mengahwini perogol, perlu dikecam dan tidak patut dibenarkan. Saya tegas dengan pendirian saya.
“Ini saya rasa dia perlu jawab," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek kepada sekolah tahfiz di Putrajaya, hari ini.
Lim mengulas penyertaan Shabudin ke dalam Bersatu bersama beberapa lagi bekas wakil rakyat Umno semalam.

Pada persidangan Dewan Rakyat April tahun lalu, selaku ahli parlimen Umno, Shabudin berkata perkahwinan antara mangsa rogol di bawah umur dengan perogolnya mungkin boleh mengubati masalah sosial.
Katanya, walaupun rogol adalah jenayah, undang-undang tidak menghalang mangsa rogol daripada berkahwin dengan individu merogolnya.
Ini menimbulkan bidasan yang meluas termasuk dari ahli parlimen BN sendiri, manakala Lim pernah mencadangkan kepada BN untuk memecatnya.
"Beliau adalah raksasa dengan membuat kenyataan sedemikian, adakah kamu mahu gadis itu menderita setiap hari dan mengalami dengan perogol?
"Kami mengutuk raksasa ini yang juga seorang ahli Parlimen dan menuntut BN untuk memecatnya. Beliau perlu diminta untuk melepaskan jawatan sebagai ahli Parlimen," kata Lim ketika itu.

