Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi: Ada orang beri tahu saya anggota bomba 'kena bantai'

INKUES ADIB l Saksi awam kejadian rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya hari ini memaklumkan inkues bahawa seseorang memaklumkannya tentang seorang anggota bomba yang "dibantai".

"Saya tanya pada orang yang lalu dekat kereta saya, ada orang cakap 'dia kena bantai lah, apa lagi?'

"Lepas tu saya tanya orang lain pula, orang lain kata tak nampak apa-apa," kata Amirul M Yussli hari ini.

Pramugara pelatih AirAsia itu merupakan saksi keempat inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Kereta Amirul merupakan salah satu kenderaan yang parkir di pinggir jalan ketika sekumpulan individu menyerang lori bomba sehingga terpaksa berundur dan melanggar van EMRS.

Amirul berkata, dia juga menyaksikan sekumpulan individu membantu anggota bomba yang kelihatan dalam keadaan kesakitan.

Jelas Amirul, dia berlari untuk memeriksa keretanya selepas lori bomba dan van EMRS berkenaan berundur di Jalan Usaha USJ 16.

"Saya cuba buka pintu (kereta bahagian pemandu) tapi tidak boleh...saya jalan pusing kereta saya tengok ada apa-apa kerosakan," kata pemuda berumur 26 tahun itu sebagai menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin.

Tambah Amirul, ketika beliau menoleh sekeliling, dia melihat sekumpulan individu sedang berjalan dan seorang ahli bomba duduk di belah kiri bahu jalan

"Dia duduk kaki melunjur ke arah jalan, peluk badan... macam dia dalam keadaan sakit...kepala menunduk," katanya yang menjelaskan anggota bomba itu memakai seluar celoreng bomba dan berbaju baju-T.

Jelas Amirul, beberapa individu kemudian mengangkat anggota bomba berkenaan dan meletakkannya di hadapan keretanya.

"Saya terdengar salah seorang dari mereka kata 'dia dah nak pengsan, dia dah nak pengsan'. Saya tengok dia macam dah nak pengsan.

"Mereka tanya saya boleh bawa dia ke hospital atau tidak...saya kata kereta saya tak boleh buka pintu sebab kemik," katanya.

Dalam pemeriksaan balas peguam Mohd Kamaruzaman A Wahab yang mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib, saksi itu berkata terdapat empat hingga lima individu yang mengangkat anggota bomba berkenaan.

Amirul juga berkata individu yang mendakwa anggota bomba itu dibantai bukan salah seorang daripada individu yang mengangkat anggota bomba yang dilihatnya cedera pada kejadian itu.

Menjawab soalan lain, Amirul berkata dia tidak dapat mengecam muka individu yang memaklumkannya tentang anggota bomba yang diserang, namun yakin individu itu kaum India.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara selepas mengalami kecederaan ketika ditugaskan di kejadian rusuhan di kuil berkenaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS