Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inkues Adib: Lori bomba tak dapat hubungi van EMRS

INKUES ADIB | Lori bomba dan van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) yang terlibat dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya 27 Nov lalu tidak dapat menggunakan alat komunikasi.

Penyelia pasukan itu, Badrul Hisham Salim, memberitahu inkues hari ini bahawa alat komunikasi mereka mengalami 'blind spot' ketika lori bomba berhenti kira-kira 30 meter dari sebuah kenderaan yang sedang terbakar.

Dalam inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Mohammad Adib Mohd Kassim, Badrul yang merupakan pegawai yang bertanggungjawab dengan operasi memadamkan kebaran ketika kejadian itu berkata tugasnya termasuklah menghubungi Pusat Gerakan Operasi (PGO) untuk menentukan tindakan yang perlu diambil pasukannya.

"Tapi pada masa yang sama alat komunikasi kami mengalami blind spot," katanya.

Ketika kejadian itu, selain Badrul, lima anggota bomba lain dan seorang pemandu lori bomba Md Eliza Mohd Noor (saksi kedua inkues), berada dalam pasukan sama.

Sementara Muhammad Adib berada di kerusi penumpang van EMRS bersama pemandu van itu, Ahmad Shahril Othman.

Disebabkan tidak dapat berkomunikasi, Badrul berkata dia mengarahkan semua pegawai tidak keluar dari kenderaan namun arahan itu tidak sampai kepada Muhammad Adib dan Shahril.

"Dalam masa yang sama, sekumpulan orang awam ini datang ke jentera dan mengatakan 'bomba balik, jangan padam'.

"Semasa mereka kata "jangan padam!" (mereka) jalan ke arah jentera dalam keadaan mencurigakan. Saya arahkan pada anggota saya jangan turun," katanya menjawab soalan pegawai pengendali inkues Hamdan Hamzah.

Bagaimanapun, kata Badrul, dua anggotanya turun ke belakang lori bomba untuk mendapatkan gelung hos sebelum dia sempat memberi arahan lanjut.

Susulan itu, beliau mengarahkan kedua-duanya kembali ke lori bomba. Salah seorang daripada anggota bomba yang turun berjaya kembali ke lori bomba, sementara seorang lagi yang diperkenalkan kepada inkues sebagai Mohd. Hazim Mohd. Rahimi, 31, tidak sempat.

"Pada masa itu lah berlaku balingan objek-objek keras pada jentera. Saya dapat melihat batu, kayu di baling pada jentera. Dan dalam masa itu Eliza bertindak mengundurkan FRT (lori bomba) kerana disebabkan ancaman balingan objek-objek keras.

"Dan dalam masa itu juga saya dimaklumkan oleh anggota mengatakan Hazim tidak ada bersama," katanya.

Badrul turut menjelaskan bahawa ketika kekacauan itu, pintu lori bomba yang dinaikinya diketuk dari luar.

Saya paling ke belakang tak lihat ke depan takut mendatangkan Kecederaan kepada saya. Di samping saya memegang pintu di sebelah kiri saya kerana bunyi ketukan amat kuat dan menakutkan saya.

"Dan sebelah kiri saya pun saya rasa ada cubaan mengetuk pintu. Saya nampak sebilangan orang awam ada sebelah sisi kiri saya," katanya

Menjawab soalan peguam Shazlin Mansor, Badrul berkata, beliau tidak mempunyai peluang untuk menghubungi Ahmad Shahril atau Muhammad Adib yang berada di dalam van EMRS menggunakan telefon bimbit kerana semuanya berlaku dengan pantas.

Ditanya sama ada dua anggota yang turun melanggar arahan, Badrul berkata: "Bagi saya tidak sebab dia bertindak sebelum saya keluarkan arahan. Mereka turun tunggu arahan di belakang, tapi sebab serangan, saya keluarkan arahan untuk masuk semula."

Kedua-dua kenderaan berkenaan berada di tempat kejadian kurang daripada 20 minit sebelum berundur dan menuju ke balai polis di USJ8.

Selepas tiba di balai, jelas Badrul, dia mendapati Muhammad Adib tiada dalam van EMRS, sementara Hazim sempat menaiki van berkenaan.

Panggilan telefon kemudian dibuat ke telefon bimbit Muhammad Adib beberapa kali, namun tidak berjawab sehingga sekitar pukul 1.34 pagi, orang awam yang menjawab dan memaklumkan Muhammad Adib dalam perjalanan ke hospital.

'Laporan polis berdasarkan tanggapan'

Dalam kenyataan kesaksiannya hari ini, Badrul juga mengesahkan kenyataan Ahmad Shahril dalam laporan polis sebelum ini yang menyebut Muhammad Adib "diheret dan dipukul" perusuh adalah berdasarkan tanggapan.

"Saya ada maklum pada beliau (polis betugas yang mengambil laporan) adakah laporan ini boleh diubah sebab kami tak nampak (dengan mata sendiri Muhammad Adib dipukul).

"Beliau mengatakan boleh (ubah laporan)," kata Badrul.

Badrul berkata, dia bagaimanapun tidak meminda laporan itu kerana menurutnya dia masih dalam keadaan trauma.

"Masa itu saya masih dalam keadaan trauma...Saya tak pasti untuk tindakan seterusnya," kata Badrul.

Muhammad Adib dihantar orang awam ke Subang Jaya Medical Centre sebelaum dipindahkan Institut Jantung Negara.

Allahyarham meninggal dunia di IJN pada 17 Dis 9.41 malam.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS