Anggota Jawatakuasa Pusat MCA, Chan Quin Er, dipanggil ke Bukit Aman esok untuk disoal siasat berhubung terbocornya arahan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara.

Menurut hantaran di media sosialnya malam tadi, Chan berkata, kehadirannya di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu seakan-akan temu janji Hari Kekasih yang terlewat.

"Nampaknya realiti menjadi whistle-blower (penyalur maklumat) di Malaysia tidak berubah sejak adanya Malaysia Baru.

"Apa yang kita mahukan sangat dalam institusi Malaysia Baru ialah piawaian tinggi dalam integriti. Itu yang saya harapkan. Itu yang diingini kebanyakan rakyat Malaysia.

"Nampaknya Pakatan Harapan mempunyai cara lain mereka sendiri," katanya melalui hantaran itu.

Chan sebelum ini mendedahkan e-mel daripada Peguam Cara (III) di Jabatan Peguam Negara, Mohamad Hanafiah Zakaria, mengenai pengurusan kes-kes berprofil tinggi.

Melalui pendedahan itu Chan mendakwa jabatan terbabit - yang kini mengendalikan pelbagai kes rasuah termasuk melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak - tidak bertindak bebas dalam tugasnya.

Dakwa PH menipu

Bagaimanapun Mohamad Hanafiah mempertahankan e-mel berkenaan dan menegaskan mereka menerima arahan daripada kerajaan dan mematuhinya selagi ia tidak bercanggah dengan perlembagaan atau sebarang undang-undang bertulis.

Pada masa sama beliau menyatakan rasa terkejut apabila kandungan e-mel tersebut tersebar dan menjadi perbualan umum, sedangkan ia ditujukan kepada semua timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes melibatkan kerajaan sebelum ini.

Untuk rekod Chan pernah bertugas sebagai peguam dan berkhidmat dengan Jabatan Peguam Negara.

Kata Chan satu laporan polis dibuat ke atasnya selepas pendedahan mengenai wujudnya campur tangan kerajaan dalam sebuah institusi yang sepatutnya bebas.

Menurut Chan selama bertahun-tahun PH memperkatakan mengenai nilai ketelusan, kebebasan dan hak bersuara dalam sistem demokrasi.

"Kita sudah ditipu. Janji-janji PH untuk memberikan ruang lebih besar kepada kebebasan bersuara dan pertanggungjawaban tidak ditunaikan.

"Malaysia Baru bermakna rakyat diperkasakan untuk memantau serta menyolak kerajaan, tapi nampaknya ia sudah berubah," katanya.

[Baca berita penuh]