BERITA Malaysiakini

Bekas MP Umno hadapai lima pertuduhan terima barang berharga

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bekas Anggota Parlimen Kota Tinggi, Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid sekali lagi dihadapkan ke mahkamah, kali ini di Mahkamah Sesyen di Shah Alam, atas lima pertuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan dua buah kenderaan dan yuran guaman bagi pembelian tanah bernilai RM12,707.60.

Noor Ehsanuddin, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Tertuduh menghadapi empat pertuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan kenderaan bernombor WRD 8251 milik isterinya berjumlah RM640, RM3,400 dan RM901 serta penyelenggaraan kenderaan bernombor WVN 3936 miliknya bernilai RM1,303.

Noor Ehsanuddin yang hadir ke mahkamah memakai sut lengkap berwarna kelabu didakwa menerima kesemuanya melalui cek daripada syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd yang mana dia mengetahui ada hubungan dengan tugas rasminya.

Tertuduh menghadapi satu lagi pertuduhan menerima benda berharga iaitu yuran guaman bernilai RM6,463.60 bagi pembelian tanah di Mukim Kota Tinggi, Johor, juga daripada Karya Hidayah.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kedai servis kenderaan di Jalan Ulu Klang, Ampang; sebuah firma guaman di Subang Jaya serta sebuah kedai perkhidmatan tayar dan bateri di Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 34, Klang, antara 10 Jan 2014 dan 8 Dis 2015.

Tertuduh yang ketika kejadian merupakan Anggota Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Hazirah Azeman mencadangkan agar Noor Ehsanuddin dibebaskan dengan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Thrichelvam Rasiah yang mewakili tertuduh tidak membantah jumlah jaminan yang dicadangkan, namun memaklumkan bahawa pasport anak guamnya telah diserahkan kepada Mahkamah Sesyen Johor Baharu yang mana tertuduh menghadapi dua pertuduhan menerima suapan pada 10 Feb lepas.

Beliau turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya juga dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas 14 pertuduhan rasuah.

Hakim Rozilah kemudian membenarkan Noor Ehsanuddin dibebaskan dengan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan semula kes.

- Bernama