Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Siasat apa maklumat dikongsi Nik Abduh pada CIA'

Pengakuan Nik Abduh Nik Abdul Aziz bahawa beliau memang orang yang ada dalam rakaman audio tersebut dan apa yang dikatakannya itu benar perlu dilihat lebih daripada isu dana Umno, kata Pemuda Amanah.

Naib ketuanya, Shazny Munir Mohd Ithnin, berkata antara isu lain yang turut penting diberi perhatian ialah pengakuan anak bekas menteri besar Kelantan itu.

Katanya Nik Abduh - dalam rakaman audio berkenaan - mendakwa dia mempunyai hubungan akrab dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

"Petikan pengakuan itu ialah: Ana (saya) boleh bercakap dengan CIA Amerika tu, yang sentiasa berhubung dengan ana.

"Pengakuan tersebut amat serius kerana melibatkan aspek keselamatan negara dan dia perlu disiasat secara tuntas memandangkan pihak yang sentiasa berhubung dengan Nik Abduh itu merupakan ejen negara luar," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod, isu rakaman audio itu pernah panas suatu ketika dulu namun Nik Abduh menganggapnya sebagai "karut dan marut".


Baca PAS sahkan suara audio Nik Abduh


"Dakwaan rakaman ucapan saya itu adalah karut, mengarut dan fitnah ke atas diri saya dan PAS yang sejahtera daripada terlibat dalam perkara yang diharamkan termasuk memakan rasuah politik Umno atau membuntut ekor DAP.

"Ia hanya sampah yang tak layak dimakan kecuali pelahap fitnah seperti PAN (Parti Amanah Negara) dan sekutunya. Saya menafikan sekeras-kerasnya," katanya.

Kena siasat dengan rapi

Namun selepas saman Presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, ditarik balik dan diselesaikan di luar mahkamah isu berkenaan ditimbulkan semula.

Dipercayai ia didalangi satu kumpulan lain yang bertembung dalam PAS dan digelar Nik Abduh sebagai "budak-budak terlebih tenaga".

 

Dalam rakaman audio, Nik Abduh mengakui PAS menerima dana daripada Umno dan ia berada dalam pengetahuan Abdul Hadi.

Nik Abduh juga mendakwa dia mempunyai hubungan akrab dengan CIA sehingga perkembangan yang berlaku di negara jiran berada dalam pengetahuannya.

Pada 12 Feb lalu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan suara dalam rakaman audio itu milik Nik Abduh.

Menurut Shazny Munir disebabkan ancaman keselamatan terhadap negara boleh dianggap besar - berdasarkan dakwaan Nik Abduh itu - polis wajar menjalankan siasatan rapi ke atas anggota parlimen Bachok itu.

"Kami minta pihak berkuasa menjalankan siasatan, jika perkara itu betul polis wajar mengenal pasti siapa individu yang berhubung dengan Nik Abduh dan apa maklumat yang dikongsikan mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS