BERITA Malaysiakini

10 permohonan kahwin bawah umur diluluskan di Kelantan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sebanyak 15 permohonan perkahwinan bawah umur telah dikemukakan di Mahkamah Syariah di negeri Kelantan bagi tempoh 2018 sehingga awal tahun ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty berkata, daripada jumlah itu hanya 10 permohonan diluluskan yang melibatkan pasangan berumur 15 tahun ke atas.

“Walaupun jumlah ini dilihat kecil, tetapi perkahwinan bawah umur harus dicegah awal kerana dikhuatiri akan menimbulkan pelbagai masalah kepada pasangan muda,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Perdana ‘Perkahwinan Dalam Kalangan Kanak-Kanak: Apa Kata Pakar’ di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di Kota Bharu hari ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengarah Kampus USM Prof. Datuk Dr Ahmad Sukari Halim turut dihadiri 200 peserta dan melibatkan dua anggota panel lain iaitu Ketua Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM Prof Madya Dr Rosediani Muhamad dan Pegawai Fatwa Jabatan Mufti Kerajaan negeri Naim Md. Ghazali.

“Kita tidak menggalakkan kahwin muda kerana pelbagai situasi akan timbul antaranya bagaimana pasangan muda ini nak urus rumah tangga, ekonomi keluarga, dan individu juga dilihat sukar untuk berkembang termasuk sudut pendidikan dan sosial,” katanya.

“Kalau hanya mempunyai Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) nak ada kemajuan diri tak boleh, berbeza jika kita benarkan pasangan berkahwin pada usia 18 tahun ke atas sekurang-kurangnya mereka sudah ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Abu Bakar berkata, Kerajaan Arab Saudi pada Januari lepas sudah mengharamkan perkahwinan pasangan berumur 15 tahun, manakala kebenaran mahkamah diperlukan bagi pasangan 18 tahun ke bawah.

“Kita pula mengikut enakmen yang ada, masih mempunyai kelonggaran bagi pasangan 15 tahun untuk berkahwin dengan syarat mendapat kebenaran mahkamah.

“Kita serahkan kepada pemerintah jika melihat perkara ini perlu untuk diselaraskan (tidak benarkan kahwin bagi pasangan 18 tahun ke bawah) kalau peraturan larangan merokok boleh dilaksanakan, larangan kenderaan berat di jalan raya semasa musim perayaan apatah lagi pelaksanaan perkara ini,” katanya.

Untuk rekod, bagi tempoh 2001 sehingga 2017 sebanyak 2,226 permohonan perkahwinan bawah umur dikemukakan, hanya 200 permohonan tidak luluskan oleh sebab tertentu termasuk pasangan tidak hadir ke mahkamah.

- Bernama