Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Patriot sokong RCI siasat salah laku hakim
Diterbitkan:  Feb 15, 2019 10:23 AM
Dikemaskini: 2:23 AM

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyokong gesaan hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat salah laku dalam badan kehakiman.

Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji berkata kebenaran perlu diketahui selepas pendedahan mengejutkan Hamid dalam satu afidavit yang difailkan semalam.

"Walaupun ia memalukan negara kita secara umumnya dan badan kehakiman khususnya, dan betapa pahitnya proses mengungkap kebenaran, kita perlu berani dan mengalu-alukan RCI.

"Hanya ketika itu, setelah kebenaran diketahui, yang boleh dipelajari, dan tindakan pemulihan diambil bagi membolehkan negara dan masyarakat kita bebas daripada dihantui masa lalu," kata Mohamed Arshad dalam satu kenyataan.

Dalam afidavitnya, Hamid mendakwa terdapat hakim tertentu membantu pihak swasta untuk menipu kerajaan.

Hamid berkata beliau bersedia untuk mendedahkan lebih banyak bukti jika RCI dibentuk untuk meneliti perkara itu, tetapi melahirkan rasa kesal apabila Ketua Hakim Richard Malanjum enggan berbuat demikian.

Afidavit beliau bagi menyokong permohonan peguam Sangeet Kaur Deo untuk mengisytiharkan bahawa ketua hakim negara gagal mempertahankan keutuhan dan kredibiliti badan kehakiman berhubung dua insiden yang didakwa membabitkan campur tangan kehakiman.

Sementara itu Mohamed Arshad menyeru anggota badan kehakiman dan semua rakyat Malaysia supaya bersatu dalam menghadapi episod tersebut.

"Malaysia akan kembali kuat," katanya.

Lihat Komen
ADS