MIC Baru kubu...atau kubur Subra?
Terjemahan Apakah cadangan penubuhan parti MIC baru merupakan satu lagi 'percubaan' untuk menjejaskan reputasi Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam?
Terjemahan Apakah cadangan penubuhan parti MIC baru merupakan satu lagi 'percubaan' untuk menjejaskan reputasi Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam?
"(Penubuhan) parti baru itu mungkin satu lagi strategi untuk "menguburkan" karier politik Datuk Subramaniam," kata seorang pemerhati politik veteran yang tidak mahu namanya disebut.
Sabtu lalu, ketua penaja parti baru itu, P Gannapathy mendakwa pihaknya mendapat sokonga kira-kira 100,000 bekas ahli parti itu untuk menubuhkan parti MIC Baru.
Menurut laporan Bernama, beliau mendakwa, tindakan berani itu diambil bagi menegakkan keadilan selepas mendakwa kira-kira 1,000 cawangan MIC di seluruh negara telah oleh parti itu sejak 20 tahun lalu.
Sambil menegaskan penubuhan MIC Baru itu tiada kaitan dengan isu jawatan timbalan presiden MIC, Gannapathy berkata, ia adalah gabungan bekas ahli cawangan MIC yang telah disingkirkan.
"MIC sendiri yang telah memaksa kami mengambil tindakan ini, jadi kami terpaksa menubuhkan parti baru walaupun kami tahu MIC itu adalah ibarat 'darah' kami sendiri.
Cawangan dibubarkan
"Ini juga sebagai tanda rasa tidak puas hati ribuan kaum India terhadap kepimpinan Samy Vellu dan kami berharap beliau sedar tentang kesilapan yang telah dilakukannya selama ini," katanya dalam satu sidang media khas mengenai penubuhan parti MIC Baru Sabtu lalu.
Beliau yang merupakan bekas Ketua MIC Cawangan Sungai Rasah, Klang berkata, sehingga ini pihaknya mendapat sokongan kira-kira 500 cawangan yang dibubarkan di seluruh negara.
Jumlah, dakwanya, dijangka bertambah sebaik sahaja parti MIC Baru didaftarkan tidak lama lagi dan pemilihan pucuk pimpinan parti itu dipilih secara sebulat suara oleh semua ahlinya.
Katanya, antara sebab lain parti itu ditubuhkan adalah kerana kebanyakan cawangan MIC terlibat, tidak diberi peluang mendapatkan borang B bagi membolehkan mereka menjadi perwakilan dan memilih pucuk pimpinan pilihan mereka.
"Tindakan seperti itulah yang menyebabkan kami marah dan ramai orang India marah hingga mereka sanggup keluar dari MIC dan menyertai parti-parti lain seperti Parti Progresif Penduduk (PPP), Gerakan dan Barisan Progresif India Malaysia (IPF).
"Begitu juga dengan kami, kami mahu menubuhkan parti MIC Baru supaya semua orang faham mengapa parti MIC yang sememangnya kecil terus berpecah,'" ujar beliau.
Perbahalan lama
Perbalahan antara Samy Vellu dan Subramaniam bukanlah rahsia dalam parti tersebut, lebih-lebih selepas presiden MIC itu secara terbuka menyokong pencalonan Naib Presiden Datuk G Palanivel bertanding jawatan timbalan presiden.
Manakala Subramaniam berulangkali menyatakan beliau akan mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandangnya dan menolak kemungkinan mencabar Samy Vellu untuk jawatan presiden.
Pemerhati politik tersebut tidak menolak kemungkinan 'percubaan' menubuhkan parti baru itu bertujuan untuk memberi gambaran bahawa Subramaniam cuba 'memecahbelahkan' MIC dan sekaligus membangkitkan kemarahan perwakilan parti itu.
Menurutnya, penubuhan parti itu pasti menghadapi masalah sekiranya ia hendak didaftarkan di bawah nama "MIC baru" dan perkara sepatutnya disedari oleh mereka yang terbabit.
"Tidak seperti Umno yang diharamkan pada 1987, MIC tidak dibatalkan pendaftarannya dengan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Jadi tentulah ada masalah untuk menggunakan nama yang sama," tegasnya.
Pada 1987, selepas Umno diisytiharkan haram oleh Mahkamah Tinggi, bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad telah menubuhkan parti baru bernama Umno baru.
Isu borang B
Bagaimanapun, tambah pemerhati tersebut, memanglah mudah bagi sesiapa sahaja untuk membabitkan Subramaniam dalam perkara tersebut memandangkan isu borang 'B' bukanlah perkara baru.
Para penyokongnya mendakwa borang tersebut sengaja tidak dikeluarkan bagi menghadkan jumlah perwakilan yang menghadiri perhimpunan agung MIC.
Ketika dihubungi, Subramaniam berkata, beliau kini berada di luar negara dan akan hanya mengulas mengenai perkara itu apabila pulang kelak.
Minggu lalu, sebuah akhbar harian Tamil mendakwa 100 daripada 4,300 cawangan MIC tidak berikan borang 'B' dan mendakwa tindakan itu bermotifkan politik.
Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh Setiausaha Agung MIC, Datuk S Sothinathan, yang berkata hanya 10 cawangan yang tidak diberi borang tersebut.
Semalam Naib Presiden MIC, Datuk S Veerasingam dilaporkan berkata, seandainya parti itu baru berjaya ditubuhkan, ia tidak akan sama sekali melemahkan MIC atau memecahbelahkan parti tersebut.
'Perjuangan saya disalah erti'
"Kami (MIC) akan terus berkhidmat untuk masyarakat India. Parti ini akan tetap teguh walaupun ada yang meninggalkannya.
"Mereka yang mahu berkhidmat kepada masyarakat dan parti, boleh kekal tetapi kami tidak boleh menyekat mereka yang mahu menubuhkan parti baru," katanya dalam laporan Bernama.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas apabila ditanya sama ada parti baru itu ada kaitan dengan Subramaniam.
Sementara itu, IPF sebuah lagi parti serpihan MIC dilaporkan bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan parti baru itu.
Presidennya, Datuk MG Pandithan berkata, kerjasama penting dalam memperjuangkan nasib masyarakat India yang didakwanya gagal dilakukan oleh MIC.
Menurutnya, MIC juga menjadi batu penghalang kepada usaha partinya untuk menyertai Barisan Nasional (BN) sejak ditubuhkan 17 tahunyang lalu.
"Matlamat perjuangan saya telah disalah erti sehingga Datuk Seri S Samy Vellu membuang saya bersama 60,000 penyokong dan menutup lebih 600 cawangan," katanya. Berita asal

