BERITA Malaysiakini

'Wajib bohong demi jaga maslahat' - Abdul Hadi

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata demi menjaga kemaslahatan terdapat keadaan yang mana seseorang itu wajib berbohong misalnya sekiranya ia bertujuan menyelamatkan nyawa seseorang daripada penjahat.

"Memang kalau ada penjenayah nak mencari mangsanya dan kita tahu mangsanya ada di sini.

"Di sini wajib kita kena bohong untuk selamatkan orang. Tak boleh cakap benarlah. Jadi adalah sebab-sebabnya," katanya ketika ditemui media di Alor Limbat, Terengganu malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu audio rakaman AJK PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. Sebelum ini, anggota parlimen Bachok mempertahankan tindakan beliau menafikan kesahihan suaranya dalam audio PAS menerima dana daripada Umno itu, berkata ia suatu langkah yang tepat.

Kata bekas ketua pemuda PAS itu, dalam soal menjaga kerahsiaan parti perkara itu juga pernah diamalkan oleh ayahnya, allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika memimpin PAS.

"Saya buat contoh yang dekat kita di Kelantan ini ialah dalam isu baiah, taklid talak (isteri) terhadap wakil rakyat PAS di Kelantan. Apabila dokumen itu tular, almarhum tok guru Nik Aziz ditanya dan dia menafikan sekeras-kerasnya.

"Maknanya kalau nak kata bohong pun bohonglah, tapi ia bab kerahsiaan. Dia menjaga rahsia wujudnya baiah itu walaupun dah bocor sampai ke mati," katanya.

Sibuk, tiada masa nak teliti

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata beliau belum lagi meneliti laporan mengenai rakaman audio tersebut.

"Banyak perkara, saya sibuk hal-hal lain.

"Saya tidak ada masa untuk mendengar perkara-perkara yang telah lalu ini. Saya kena tengok, baca dulu... Audio ini saya tumpu (waktu saman) Sarawak Report dan sudah selesai," katanya.

PAS pada 12 Februari lalu mengesahkan Nik Abduh mengakui kesahihan audio itu mengandungi suaranya.

Susulan itu, Nik Abduh tampil mengakui perkara itu dalam satu hantaran panjang di Facebooknya hari ini.

Dalam hantaran itu, beliau antara lain berkata membuat penafian selepas pimpinan PAS berkeras agar beliau berbuat demikian dan ia mendapat restu Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Sebelum itu, Hadi berkata beliau menyerahkan soal itu kepada Nik Abduh sendiri.