Penerbangan Malaysia (MAS) mahu kakitanganya tampil melaporkan perbuatan rasuah, salahlaku yang menjejaskan keselamatan dan amalan buruk lain dalam syarikat penerbangan itu, di bawah dasar yang baru diperkenalkan bagi melindungi kakitangan yang mendedahkan kepincangan syarikat.

Pengarah Urusan baru MAS, Idris Jala mahu kakitangan melaporkan sebarang maklumat salahlaku dan penyalahgunaan kuasa kepada sebuah jawatankuasa bebas yang ditubuhkan untuk tujuan tersebut, demikian menurut laporan akhbar New Straits Times.

"Dasar ini diperkenalkan bagi menyediakan saluran yang selamat dan dapat diterima bagi membolehkan anda (kakitangan) membangkitkan perkara mengenai salahlaku yang menjejaskan MAS, tanpa bimbangkan akibatnya," katanya dalam pekeliling yang dipetik oleh akhbar berkenaan.

"Ia membolehkan anda membangkitkan perkara tersebut secara independen dan tidak berat sebelah," kata Idris yang dilantik ke jawatan tersebut Disember lalu.

Tindaka disiplin

Idris berkata, kakitangan berkenaan tidak diperlukan membuktikan dakwaan mereka, dan beliau berjanji akan melindungi mereka yang memberi maklumat berkenaan.

"Sebarang percubaan untuk bertindak terhadap mereka yang memberi maklumat dengan tujuan yang baik, adalah satu perbuatan yang serius dan akan dikenakan tindakan disiplin sewajarnya," katanya.

Idris kini memikul tanggungjawab untuk mengeluarkan syarikat penerbangan tersebut daripada kemelut kewangannya selepas mecatatkan kerugian dalam tempoh dua suku tahun berturut-turut.

Beliau dijangka mengumumkan rancangan penstrukturan semula MAS bulan ini bagi mengeluarkan syarikat berkenaan daripada kerugian.

MAS, yang kini dilanda masalah kewangan, menjadi tumpuan beberapa kontroversi seperti pembelian lukisan bernilai berjuta-juta ringgit dan pengambilan bekas pegawai perisikan Israel bertugas di syarikat berkenaan.

Syarikat penerbangan itu bagaimanapun menafi menggunakan perkhidmatan kakitangan seumpama itu.