J/k Pengurusan Umno putuskan kedudukan ketua bahagian digantung
Jawatankuasa Pengurusan Umno akan memutuskan dalam mesyuaratnya akan datang sama ada ketua bahagian Umno yang tamat tempoh penggantungan jawatan sebelum pemilihan parti, akan dibenarkan menyandang semula jawatan itu.
Jawatankuasa Pengurusan Umno akan memutuskan dalam mesyuaratnya akan datang sama ada ketua bahagian Umno yang tamat tempoh penggantungan jawatan sebelum pemilihan parti, akan dibenarkan menyandang semula jawatan itu.
Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan jawatankuasa itu kemudian akan dibawa kepada Majlis Tertinggi parti untuk disahkan.
"Sebenarnya MT telah menurunkan kuasa kepada jawatankuasa pengurusan, yang baru berbincang (mengenai perkara itu), tetapi belum muktamad untuk dirujuk kepada peruntukan perlembagaan," katanya.
Menurut Bernama, beliau memberitahu pemberita demikian ketika mengulas kedudukan ketua bahagian yang digantung, dan akan tamat tempohnya sebelum pemilihan parti akan datang.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat pada 24 Januari lalu ada menyentuh perkara itu tetapi MT mahu ia diperhalusi sebelum keputusan muktamad dibuat.
Nasihat guaman
Muhyiddin berkata, sebarang keputusan berhubung kewajaran seseorang ketua bahagian, menyandang semula jawatannya, akan dibuat mengikut peruntukan dan semangat dalam perlembagaan Umno dan jawatankuasa pengurusan juga akan mendapatkan tafsiran daripada penasihat guaman parti.
"...supaya tak ada keadaan janggal (dan mengelakkan) kes begini keputusannya begini, kita buat cara teratur," katanya.
Seorang daripada ketua bahagian yang terlibat ialah Datuk Zaid Ibrahim (Kota Bharu) atas kesalahan menghina Lembaga Disiplin dan akan tamat tempoh hukuman pada 1 Januari 2007.
Zaid pada awalnya digantung selama tiga tahun mulai 24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008 atau satu penggal pemilihan sebelum dikurangkan oleh Majlis Tertinggi yang bermesyuarat pada 8 Oktober 2005 kepada satu setengah tahun.
Kebanyakan kes penggantungan pemimpin bahagian dan cawangan, setelah didapati menyalahi tataetika parti sebelum ini, lazimnya adalah bagi tempoh sehingga pemilihan parti seterusnya.
Kali terakhir Umno mengadakan pemilihan parti ialah pada September 2004 dan mengikut perlembagaan, pemilihan akan datang adalah sebelum September 2007. Bagaimanapun Majlis Tertinggi boleh menangguhkannya dalam tempoh 18 bulan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.