Tindakan kuarantin dan pemusnahan ternakan akan dilakukan jika keputusan ujian makmal ke atas 40 sampel beberapa jenis haiwan di Tanah Merah mendapati ianya dijangkiti virus Japanese Encaphalitis (JE), kata Menteri Pertanian dan Industri Asas tani Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pemantauan perlu dilakukan di kawasan ladang ternakan haiwan lain kerana sejarah masa lalu menunjukkan penyakit itu boleh menular kepada haiwan lain selain daripada babi.

"Walaupun setakat ini belum ada bukti virus itu berlaku di kawasan itu, pemantauan rapi termasuk di ladang ternakan lain perlu dilakukan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan itik kepada pesawah padi bagi menangani serangan siput gondang emas di Kampung Tal Tujuh di Pasir Mas hari ini.

Jabatan Haiwan telah mengambil 40 sampel iaitu kuda (enam), lembu (24) dan kambing (10) manakala sampel babi hutan masih dalam proses dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Sampel itu telah dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh.

Katanya, usaha mendapatkan sampel darah babi hutan di kawasan yang dianggap bermulanya virus JE di Tanah Merah juga adalah wajar bagi membendung penularan penyakit itu ke kawasan lain di negeri ini.

Kenalpasti punca

Muhyiddin berkata jika sudah ada bukti sahih dan positif, tindakan seperti kuarantin atau pemusnahan lanjutan perlu dibuat seperti yang dilaksanakan di Negeri Sembilan apabila virus Nipah menyerang kawasan itu.

"Kita akan memberitahu Jabatan Kesihatan selepas mengenalpasti punca sebenar melalui sampel itu walaupun ada beberapa pihak berpendapat mungkin kerana banyak babi hutan di kawasan itu yang dikatakan pembawa virus itu," katanya.

Menurut laporan Bernama, Muhyiddin berkata langkah segera yang perlu diambil ialah memastikan apakah punca sebenar virus itu dan tempat ia bermula.

Dua kematian dilaporkan dengan simptom JE tetapi kematian Siti Mardiana Mohd Romli, 13, pada 26 Januari dan Hasnira Akmal Hussin, 13, dua hari lalu, belum disahkan akibat jangkitan virus itu.

Setakat ini hanya seorang mangsa Norhayati Awang, 27, yang kini dalam keadaan stabil disahkan dijangkiti virus JE manakala dua lagi pesakit yang juga bapa dan adik lelaki Siti Mardiana masih dirawat di wad Hiperdensi Tinggi Hospital Raja Perempuan Zainab II di Pasir Mas dan belum dipastikan dijangkiti virus itu atau tidak.

Hantar pakar

Sementara itu, Bernama melaporkan, Kementerian Kesihatan menghantar dua ahli virologi ke Kelantan bagi mengenal pasti jenis virus yang telah menyebabkan kematian dua pelajar dan tiga lagi yang masih dirawat kerana disyaki dijangkiti JE di Tanah Merah.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Shafie Ouyub berkata ahli virologi dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan itu akan membuat kajian terperinci bagi mengenal pasti virus berkenaan.

"Hari ini kita bawa dua pakar itu untuk mengkaji jenis virus yang berlaku di Tanah Merah dan seterusnya dapat membantu Jabatan Kesihatan merangka strategi membendung penyakit terbabit," katanya kepada pemberita sebelum mendengar taklimat mengenai JE di Makmal Kajian Vektor Jabatan Kesihatan Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Taklimat yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit Dr Marzuki Md Isa.

Siti Mardiana Mohd Romli, 13, dari Kampung Air Kerala, Batang Bergedik Gual Ipoh, Tanah Merah meninggal dunia Khamis lalu manakala Hasnira Akmal Hussin, 13, dari Kampung Bukit Pauh, Gual Ipoh meninggal dunia semalam, kedua-duanya disyaki dijangkiti JE.

Norhayati Awang, 27, dari Jalan Klinik, Tanah Merah serta bapa dan adik Siti Mardiana, Mohd Romli Mohd Zaid, 34 dan Mohd Awi, lima tahun, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

'

Setakat ini hanya Norhayati yang disahkan dijangkiti JE.

Khabar angin

Dr Shafie berkata laporan kematian Hasnira baru sahaja dihantar kepada Kementerian Kesihatan dan kenyataan penuh mengenainya akan dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Ismail Merican di Kuala Lumpur esok.

"Pagi esok, Ketua Pengarah akan mengadakan sidang akhbar dan saudara boleh bertanyakan sebarang soalan berkaitan situasi di Tanah Merah ini," katanya.

Beliau juga meminta masyarakat supaya tidak mendengar khabar angin yang mengatakan ramai mangsa JE sedang dirawat di hospital sedangkan yang sebenarnya hanya tiga yang masih menerima rawatan.

"Bila terlalu dengar khabar angin, nanti jadi panik dan sebab itu kita tidak mahu terlalu banyak yang mengeluarkan kenyataan," katanya.

Mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini yang mendakwa Kementerian Kesihatan seolah-olah cuba "menutup" isu itu, Dr Shafie yang menafikannya berkata kementerian berkenaan kini dalam proses mengumpul maklumat penuh penyakit itu.

Beliau berkata hanya Dr Ismail sahaja yang akan memberi kenyataan mengenai isu itu selepas ini bagi mengelak fakta bercanggah dikeluarkan.

"Yang penting tindakan mengatasinya sedang berjalan dan kalau banyak yang cakap, takut salah fakta, nanti jadi panik," katanya.