Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) kedua-duanya di Johor dijangka menerima faedah ekonomi hasil pembinaan jambatan yang akan menggantikan separuh daripada Tambak Johor, demikian menurut ahli-ahli perniagaan di Johor Bharu.

Menurut mereka, dengan adanya jambatan itu, kapal dagang dapat bergerak bebas antara kedua-dua pelabuhan itu yang masing-masingnya terletak di bahagian timur dan barat Johor.

"Apabila jambatan tersebut dibina dan kapal perdagangan dapat melalui Selat Tebrau, ia memberi kesan ekonomi yang positif kepada Pelabuhan Pasir Gudang dan PTP kerana kos operasi akan menjadi lebih rendah bagi pengendali kapal," kata Chan Chang Choy, ahli jawatankuasa Dewan Perniagaan dan Industri Cina Johor kepada Bernama hari ini.

Menurutnya, kos operasi dapat diturunkan kerana khidmat lori pengangkut tidak lagi diperlukan bagi memunggah barangan dari kapal ke pelabuhan, dan ini akan menjadikan Pelabuhan Pasir Gudang dan PTP lebih menarik dan berdaya maju.

Katanya, hubungan laut antara Pelabuhan Pasir Gudang, yang khusus untuk barangan pukal, dan PTP, sebuah pelabuhan kontena di Gelang Patah, dijangka memberi saingan hebat kepada Singapura.

"Bagaimanapun kita percaya pihak berkuasa Singapura akan bersedia dengan strategi tertentu untuk menurunkan kos operasi pelabuhan mereka," katanya.

Suntikan positif

Malaysia telah membuat keputusan untuk membina jambatan itu di kawasan sempadannya tanpa menunggu persetujuan Singapura.

Menurut Chan, selain faedah ekonomi yang bakal diterima oleh kedua-dua pelabuhan itu, sektor pelancongan di Johor Baharu khususnya juga akan menerima suntikan positif dengan pembukaan laluan laut di hadapan Selat Tebrau.

"Kita berharap kerajaan dapat menyediakan kemudahan marina untuk kapal persiaran serta kapal layar. Kedudukan perairan Johor Baharu serta kemudahan penyelenggaran kapal yang lebih murah, akan menjadikan negeri ini lebih menarik," katanya.

Chan berharap rekabentuk jambatan baru itu akan mengambil kira keperluan kenderaan, terutama lori berat kerana jika jambatan itu dibina terlalu tinggi bertujuan memberi laluan kepada kapal ia akan menyusahkan lori bergerak.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Johor) Syed Ali Alattas bersetuju bahawa pembukaan laluan laut di Selat Tebrau akan menguntungkan sektor industri di Johor terutamanya pelabuhan Pasir Gudang dan PTP.

Sambil menyifatkan jambatan itu sebagai satu manfaat yang besar, beliau berharap pembinaannya tidak lagi ditangguhkan.

"Ia mesti diteruskan," katanya.

Syed Ali berkata, hasil hubungannya dengan masyarakat perniagaan Singapura, beliau mendapati mereka menyokong pembinaan sebuah jambatan baru.

Perlawanan golf

Sementara itu, Menteri Luar Singapura dan Malaysia akan menyertai perlawanan golf dan beberapa jenis sukan lain sempena sukan persahabatan kedua-dua kementerian berkenaan di sini hujung minggu ini.

Singapura akan menjadi tuan rumah Kejohanan MFA-Wisma Putra Sabtu dan Ahad ini yang merupakan sebahagian daripada program pertukaran tidak formal bagi mengeratkan hubungan antara pegawai kedua-dua kementerian berkenaan.

Seperti perlawanan sebelum ini, Menteri Luar Singapura George Yeo dan dan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Syed Hamid Albar, akan mengetuai delegasi masing-masing.

Kenyataan Kementerian Luar Singapura menyebut kejohanan tahun ini membabitkan sukan golf, tennis, badminton, bola sepak dan boling.

"Pegawai-pegawai muda di kedua-dua negara akan mendapat banyak peluang untuk berinteraksi," kata kenyataan itu.

Turut mengambil bahagian ialah Timbalan Menteri Luar Malaysia Joseph Salang, Menteri Negara Singapura (Hal Ehwal Luar) Zainul Abidin Rasheed dan Anggota Parlimen kedua-dua negara.