Malaysiakini BERITA

Mahkamah Persekutuan arah pembicaraan semula petisyen p’raya Jasin

Hafiz Yatim

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mahkamah Persekutuan hari ini mengembalikan petisyen pilihan raya Parlimen Jasin yang difailkan oleh calon Pakatan Harapan, Khairuddin Abu Hassan ke Mahkamah Pilihan Raya untuk dibicarakan.

Oktober lalu, Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur menolak petisyen Khairuddin dan memutuskan bahawa calon BN Ahmad Hamzah akan kekal di kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum ke-14.

Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali berkata petisyen calon Pakatan Harapan Khairuddin Abu Hassan sepatutnya difailkan di tempat pilihan raya itu diadakan.

Bagaimanapun, panel mahkamah persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum hari ini sebulat suara bersetuju dengan peguam Khairuddin, Gopal Sri Ram bahawa mahkamah pilihan raya, yang bersidang di Kuala Lumpur, mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan perkara itu.

Mahkamah turut bersetuju dengan Sri Ram bahawa petisyen difailkan dengan betul di Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur selain Khairuddin menyertakan maklumat mencukupi dalam petisyennya.

"Kami bersetuju dengan dua isu ini dan membenarkan rayuan itu," kata Hakim Malanjum.

Sementara itu, Sri Ram turut memohon perkara itu dibicarakan di hadapan hakim pilihan raya lain dan ini dipersetujui oleh Malanjum.

“Kami akan kemukakan alasan bertulis kemudian,” kata Malanjum yang menetapkan Jumaat ini untuk sebutan kes.

Ketua hakim itu juga memerintahkan Ahmad supaya membayar kos RM20,000.

Hakim lain yang bersidang sama adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, David Wong Dak Wah, hakim-hakim mahkamah persekutuan Alizatul Khair Othman Said, Rohana Yusof dan Tengku Maimun Tuan Mat.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Pilihan Raya Che Mohd Ruzima Ghazali menolak petisyen Khairuddin atas alasan petisyen itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi Melaka iaitu di mana pilihan raya diadakan bukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Khairuddin kalah kepada Ahmad dengan perbezaan 219 undi dalam pertandingan tiga penjuru yang menyaksikan Ahmad mempertahankan kerusi itu selepas menerima 26,560 undi manakala Khairuddin memperoleh 26,341 undi sementara calon PAS Abd Alim Shapie mendapat 8,860 undi.

Khairuddin memfailkan petisyen pilihan raya itu pada Jun tahun lalu menurut Seksyen 34(C) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau yang memohon perintah deklarasi keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Jasin batal dan tidak sah mendakwa ahli politik BN itu dipilih secara tidak sah dan pilihan raya baharu perlu didakan.

Peguam Mohd Hafarizam Harun mewakili Ahmad manakala Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili pegawai pengurus pilihan raya Zamrud Yahya dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

[Baca berita penuh]