Warisan dan Bersatu harus berunding, kata Anwar
Warisan dan Bersatu perlu berunding susulan hasrat Bersatu untuk bertapak di Sabah, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau berkata ini bagi mengelak ketegangan dan salah faham antara kedua-dua parti.
“Oleh kerana hubungan kita dengan Warisan baik...saya fikir apa pun keputusan, harus berunding dan ada kesefahaman kerana ini adalah cara kita dalam parti (Pakatan Harapan).
"Walaupun Bersatu sudah membuat kenyataan tetapi sebaiknya dirundingkan terus supaya tiada ketegangan antara parti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Syarahan Darul Ehsan anjuran Universiti Selangor (Unisel) di Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu yang mengumumkan keputusan parti untuk mengembangkan sayap ke Sabah, Jumaat lepas.
Terdahulu dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu hari ini, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata parti pimpinannya tidak mampu menghalang Bersatu atau mana-mana parti untuk melebarkan sayapnya ke Sabah.
Ketua Menteri Sabah itu menegaskan, partinya akan terus mengekalkan kerjasama dengan kerajaan PH dan berusaha memenuhi janji kepada rakyat demi kepentingan rakyat Sabah.
Sementara itu, mengulas mengenai surat perakuan PAS yang menyokong kepimpinan Dr Mahathir jika berlaku pengkhianatan dalam pentadbiran kerajaan PH, Anwar menegaskan beliau sendiri tidak pasti sama ada ia benar atau sebaliknya.
“PAS pernah sebut boleh berbohong untuk parti sebelum ini, jadi kita tak tau ia (surat) benar atau bohong,” tambahnya.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu akan berdiri teguh menyokong kepimpinan Dr Mahathir jika berlaku pengkhianatan dalam pentadbiran kerajaan PH.
Takiyuddin berkata sehubungan itu, PAS telah mengemukakan surat perakuan bertulis kepada Dr Mahathir selaku Pengerusi Bersatu dalam pertemuan yang berlangsung di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur, Jumaat lepas.
- Bernama

