Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DUN Negeri Sembilan serah notis kekosongan Rantau Isnin ini
Diterbitkan:  Feb 18, 2019 6:09 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijangka akan menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Rantau kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Isnin ini.

Timbalan Speaker M Ravi berkata satu mesyuarat dalaman akan dijalankan dalam masa terdekat sebelum mengumumkan kekosongan kerusi DUN Rantau yang juga akan dibuat Isnin ini.

“Saya telah bincang dengan Speaker bahawa kami akan umum dan serahkan notis kekosongan kerusi DUN Rantau Isnin ini, kami serah notis dan kemudian kami umum,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Stesen Minyak (BHP) Seng Group of Companies di Port Dickson, hari ini.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum hari ini menolak rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau sebagai terbatal dan tidak sah.

Keputusan itu sekali gus membuka laluan kepada PRK bagi DUN Rantau untuk diadakan.

Pada 28 April lalu, Dr S Streram yang merupakan calon Pakatan Harapan yang mewakili parti PKR tidak dibenarkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ekoran ketiadaan pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memasuki pusat penamaan calon dan lantaran itu, Mohamad, diumumkan menang tanpa bertanding kerusi tersebut.

Pada 23 Mei lepas, Dr Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya, Mohamad tidak dipilih secara sah dan terbatal.

November lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan PRK DUN Rantau perlu diadakan serta-merta berikutan kemenangan Mohamad di kerusi itu adalah tidak sah dan terbatal.

Berikutan itu, Mohamad memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan kerusi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS