Terjemahan Kerajaan digesa supaya menarik balik status 'kereta nasional' kepada Proton bagi mengelak pembaziran berterusan sumber-sumber negara dan mengakibatkan pihak lain merana kerananya.

Pemimpin DAP, Ronnie Liu berkata konsep kereta nasional tidak sesuai untuk Malaysia sejak dari awal lagi dan oleh itu, Proton patut membiarkan syarikat kereta yang kukuh seperti Volkswagen memegang ekuiti penguasaan.

"Proton sepatutnya mengambil langkah lebih berani untuk survival jangka panjang. Tidak ada syarikat kereta besar dan lebih kukuh dari Proton, yang mahu mereka diterajui oleh syarikat kecil seperti Proton," katanya.

Menurutnya, negara tidak seharusnya berterusan menanggung masalah tersebut kerana ego seorang pemimpin. Proton adalah idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Liu juga tidak faham mengapa syarikat pembuat kereta Jepun, Mitsubishi Motors dipilih semula untuk menjadi rakan kongsi Proton, sedangkan syarikat itu gagal menempah sebarang kejayaan dalam perniagaannya di negara lain di dunia.

"Proton sepatutnya mencari syarikat kereta yang berwibawa supaya dapat bersaing di pasaran kereta dunia. Langkah berkerjasama semula dengan Mitsubishi tidak akan dapat melonjakkan imej dan kredibiliti Proton.

"Mungkin Dr Mahathir boleh menjelaskan kepada rakyat Malaysia mengapa dulu Proton memilih untuk mengadakan kerjasama dengan Mitsubishi," tambah Liu.

Kerjasama baru

Proton dilaporkan akan mengadakan kerjasama baru dengan Mitsubishi bagi memajukan model baru kereta. Kerjasama itu termasuklah pemindahan teknologi, bekalan komponen kereta termasuk enjin, dan membenarkan Proton merekabentuk model baru.

Presiden Mitsubishi Motors, Osamu Masuko dijangka melawat Malaysia hari ini untuk menandatangani perjanjian bersama dengan Proton.

Mitsubishi merupakan satu-satunya syarikat pembuat kereta di Jepun yang mengalami kerugian. Pada Mac 2004, ia menjual tujuh peratus ekuitinya dalam Proton sebagai salah satu usahanya untuk keluar dari kerugian.

Minggu lalu, Proton mengumumkan yang ia akan mengadakan kerjasama dengan Volkswagen dalam pelbagai bidang teknikal dan projek latihan. Berita asal