Paling Popular
Terkini

PRK SEMENYIH | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengarahkan majlis ceramah BN di Kampung Rinching Hilir dihentikan apabila penganjurnya tidak mendapatkan permit polis.

Arahan itu dikeluarkan ketika sekumpulan pegawai penguat kuasa SPR membuat pemeriksaan mengejut di kawasan itu kira-kira jam 10 malam ini.

Ketika itu bekas menteri besar Selangor Mohamad Khir Toyo sedang menyampaikan ucapan.

Arahan itu dikeluarkan hanya selepas 11 minit beliau memulakan kata-katanya.

Bagaimanapun arahan itu tidaklah memberikan kesan terlalu besar kepada kempen BN kerana sebelum itu Anggota Parlimen Pontian, Ahmad Maslan, dan calon mereka Zakaria Hanafi, sempat berucap.

Pegawai SPR meminta penganjur menunjukkan permit ceramah itu dan memberikan masa selama 10 minit untuk menamatkannya jika gagal berbuat demikian.

Penganjur kemudian mematuhi arahan SPR tersebut dan menamatkan ceramah mereka.

Sementara itu Ahmad yang menjadikan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kembung sebagai kawasan angkatnya berkata permit tidak diperlukan kerana majlis berkenaan diadakan tidak di kawasan awam.

Ahmad (kiri) dan Mohamah Khir

"Ini ceramah untuk jentera BN, kita tak panggil orang lain.

"Ini bukan ceramah, sebaliknya cuma pertemuan dua jentera PDM," katanya.

Untuk rekod majlis berkenaan diadakan di kawasan terbuka sebuah rumah dengan kebanyakan yang hadir mengenakan baju biru BN dan dijemput menikmati makan malam sebelum ceramah.

Penamatan ceramah itu adalah yang ketiga untuk PRK Semenyih ini.

Perintah sama dikeluarkan SPR pada ceramah dianjurkan Pemuda PH pada malam 16 Feb lalu, selain program kempen BN semalam.

Ditanya mengapa penganjur tidak berhujah dengan penguat kuasa SPR untuk meneruskan ceramah tersebut jika mempunyai alasan kuat, Ahmad berkata: "Malas, buat apa... Saya nak beritahu ini pertemuan dengan jentera PDM, sepatutnya tak payah permit."

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, pihaknya menyediakan pasukan khas untuk mengendalikan permohonan permit sepanjang tempoh itu.

Justeru, kata Mohd Sabri, tidak timbul isu polis gagal keluarkan permit, melainkan atas faktor lain seperti keselamatan.

Lihat Komen
ADS