Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK SEMENYIH | Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meminta rakyat agar tidak terlalu awal menghakimi Pakatan Harapan (PH), sebaliknya memberi peluang kepada mereka untuk menunaikan janji dalam masa sepenggal menjadi kerajaan.

“Saudara pilih PH bukan untuk bekerja sembilan bulan (sahaja), tetapi untuk sepenggal.

“Satu penggal bermakna maksimum lima tahun. Jadi banyak masa lagi,” katanya ketika berucap di Kampung Rinching Hilir, di Semenyih semalam.

Beliau mengulas isu janji manifesto PH yang belum ditunaikan selepas kira-kira sembilan bulan menjadi kerajaan.

Meluahkan keyakinan bahawa janji tersebut akan dapat dilunaskan, Muhyiddin yang merupakan menteri dalam negeri meminta rakyat memberi masa kepada kerajaan untuk menunaikan manifesto secara berperingkat.

“(Orang kata) ‘lama sangat Tan Sri, kami tak boleh tahan, perut kami lapar, barang mahal’. Ya saya faham, saya sudah 40 tahun dalam kerajaan. Soal menguruskan negara tak ada masalah, kita ada cukup pengalaman.

“Tapi menguruskan negara dalam situasi selepas mengambil alih daripada sebuah kerajaan yang amat tidak bertanggungjawab, ini memerlukan perancangan yang lebih cerdik agar kita tak perlu menunggu sebegitu lama, dan kita buat secara berfasa,” katanya lagi.

Isu janji manifesto merupakan antara kritikan utama yang dilemparkan terhadap kerajaan dan dijangka turut menjadi topik utama sepanjang kempen PRK Semenyih sepanjang dua minggu ini.

Muhyiddin turut menepis dakwaan kerajaan tidak membela nasib orang Melayu kerana telah dikuasai oleh DAP.

Beliau berkata, di awal penubuhan PH, parti-parti komponen telah sepakat untuk mendukung Perlembagaan Persekutuan, termasuk berkaitan Melayu dan agama Islam.

"Selagi ada matahari dan bulan, Perlembagaan tidak akan dipinda. Kedudukan hak istimewa orang Melayu dan kedudukan bangsa lain dalam negara kita akan kekal, tiada kompromi.

“Apa juga bentuk bantuan - dalam soal ekonomi, sosial dan lain-lain - oleh pemimpin terdahulu, akan kita buat, (malah) lebih lagi untuk masa akan datang,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS