BERITA Malaysiakini

Laporan: SPRM kini siasat penderma PAS isu RM90 juta

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan sedang menyiasat penderma tetap dan kroni PAS berhubung dakwaan parti itu menerima RM90 juta daripada Umno dan dikatakan berkaitan dengan 1MDB.

Laporan The Malaysian Insight memetik sumber dalaman SPRM yang berkata, antara yang disiasat adalah akaun peribadi "ahli perniagaan dan tokoh" yang kerap menyumbangkan wang kepada PAS.

"Ada kemungkinan wang disalurkan ke parti daripada akaun peribadi mereka yang disiasat.

"Ini merupakan tumpuan siasatan pada masa ini," kata sumber itu seperti dipetik.

Terdahulu, sumber SPRM memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya tidak menemui sebarang dana berkaitan 1MDB disalurkan ke akaun rasmi PAS, walaupun tidak dapat dipastikan sama ada akaun peribadi pemimpin parti yang dikaitkan dengan isu itu sudah diteliti.

Sejak siasatan bermula 6 Februari lalu, SPRM telah mengambil keterangan anggota jawatankuasa pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa.

Badan itu juga mengambil keterangan peguam Ambiga Sreenevasan, yang dinamakan sebagai sumber kepada artikel berkenaan perkara itu yang disiarkan laman Sarawak Report pada April 2016.

Siasatan dimulakan susulan laporan terhadap SPRM, selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyelesaikan samannya terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown di luar mahkamah.