Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inkues Adib: Saksi tak dapat kongsi perincian lepas teksi dilanggar

INKUES ADIB | Seorang warga emas yang berada di lokasi rusuhan berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada Nov lalu hari ini memberitahu inkues bahawa dia tidak dapat berkongsi perincian kejadian selepas teksi Proton Exoranya dilanggar lori bomba yang berundur.

Dalam kejadian yang menyebabkan teksinya berpusing 180 darjah itu, K Arumugam, 66, berkata, dia sebelum itu berada di lokasi kejadian kerana jalan sepanjang Jalan Usaha in USJ16 merupakan yang paling hampir dari rumahnya dan dia tidak perlu melalui tol.

Saksi inkues sebelum ini menceritakan kekacauan sebelum dan selepas ketibaan lori bomba dan van perubatan EMRS pada 1.12 pagi.

Arumugam yang hari ini tampil sebagai saksi ke-11 inkues siasatan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim bagaimanapun tidak dapat menceritakan perincian kejadian itu.

"Saya nampak jentera bomba telah langgar dan tolak van bomba. Sejurus itu van bomba langgar kereta saya," katanya, yang bercakap menggunakan penterjemah mahkamah.

Inkues sebelum itu mendengar bagaimana van EMRS berada di belakang lori bomba, sementara sebuah teksi berada di belakang van EMRS itu.

Saksi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya memberi keterangan bahawa lori bomba dan van EMRS itu terpaksa berundur susulan diserang sekumpulan individu, dan seterusnya menyebabkan lori bomba melanggan van EMRS, sebelum melanggar teksi.

Dalam kejadian itu, beberapa kenderaan yang parkir di pinggir jalan turut tercalar.

"Saya tak nampak sebab saya dah pening masa tu. Saya tak ingat apa-apa selepas itu. Saya cuma ingat saya ditolong orang ramai keluar dari kereta," katanya yang kemudian menjelaskan pintu teksinya tersekat.

Ketika disoal pegawai pengendali inkues Zhafran Rahim Hamzah tentang situasi selepas pelanggaran, Arumugam sekali lagi menegaskan dia tidak dapat mengingat sama ada sekumpulan individu menyerang lori bomba dan van EMRS selepas teksinya dilanggar.

Arumugam, yang menceritakan situasi pelanggaran menggunakan kereta mainan, berkata, teksi dilanggar di bahagian hadapan dan berpusing 180 darjah.

Selepas itu, kata Arumugam, dia berada di dalam teksinya selama 20 minit sehingga sekumpulan individu menolongnya untuk keluar dari teksinya.

"Selepas dilanggar oleh jentera FRT (lori bomba), saya ditolong orang ramai untuk buka pintu kenderaan.

"Setelah itu oleh kerana saya tak dapat berfikir dan masih dalam keadaan kelam-kabut, saya duduk balik dalam kereta saya.

"Selepas lebih kurang 30 minit, baru saya dapat menenangkan diri saya. Masa itu, kenderaan saya dihampiri oleh seorang pemandu tow truck (lori penunda), (dia) tanya kepada saya, sekarang macam mana? Kerana kereta saya berada di tengah jalan dan menghalang jalan tersebut," katanya.

Arumugam berkata dia kemudian mengikut pemandu lori penunda untuk membuat laporan polis di balai polis USJ8 dan seterusnya menggunakan Grab untuk balik rumah.

Ditanya oleh koroner Rofiah Mohamad tentang kecederaan, Arumugam berkata dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Saya tidak cedera fizikal. Saya hanya terkejut dan tidak sedap badan setelah kejadian," katanya.

Inkues akan bersambung pada Khamis dengan saksi ke-12 dijangka tampil memberi keterangan.

Lihat Komen
ADS