Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Desakan bekas seorang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dr Boo Cheng Hau supaya Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan dianggap dangkal dan tidak mewakili pandangan parti DAP.

Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali berkata kenyataan itu tidak sepatutnya datang terutama dari tokoh lama dalam politik.

“Saya menyifatkan bahawa desakan oleh beliau agar Dr Mahathir iaitu perdana menteri Malaysia untuk meletakkan jawatan atas hujah gagal menunaikan manifesto Pakatan Harapan (PH) sebagai dangkal dan tidak mewakili pandangan parti DAP.

“Kenyataan dangkal ini tidak menggambarkan muafakat PH dalam konteks untuk memajukan negara malah membawa Malaysia baharu keluar dari krisis masalah yang ditinggalkan oleh BN,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sheikh Umar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi Dan Ekonomi Kreatif negeri itu juga berpandangan bahawa bekas Adun Skudai itu sepatutnya menawarkan khidmat atau pandangan yang lebih proaktif untuk bersama-sama membantu mengukuhkan kerajaan dan juga menyelesaikan kerumitan yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

“Kepakaran dan pengalaman beliau seharusnya boleh ditawarkan dengan jalan yang lebih bijak, sebaliknya bukan dengan jalan dan pandangan yang semberono begini,” kata Sheikh Umar yang juga Adun Paloh.

Dalam satu kenyataan berasingan, Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pusat Mohd Fahim Mohd Farid pula mendesak Dr Boo menarik balik kenyataan dan memohon maaf kepada semua Kepimpinan Pakatan Harapan.

Menurutnya, tindakan segelintir individu seperti Dr Boo dikhuatiri boleh menjadi titik permulaan memecah-belahkan Parti Kompenan Pakatan Harapan memandangkan beliau juga mempunyai rekod lampau yang boleh menjejaskan permuafakatan Pakatan Harapan.

Semalam, Dr Boo dilaporkan sebagai berkata​​​​​​​ mana-mana pemimpin politik terutamanya anggota Bersatu​​​​​​​ yang membelakangkan janji-janji Pakatan Harapan (PH) termasuk Dr Mahathir dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu digesa untuk melepaskan jawatan masing-masing.

- Bernama

Lihat Komen
ADS