DAP: Persatuan dalam PDRM patut sokong penubuhan IPCMC
DAP mendakwa, beberapa persatuan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana mereka bimbang penyelewengan polis didedahkan kepada orang awam.
DAP mendakwa, beberapa persatuan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana mereka bimbang penyelewengan polis didedahkan kepada orang awam.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, IPCMC patut ditubuhkan kerana ia akan berfungsi untuk memperbetulkan penyelewengan yang berlaku dalam pasukan polis.
Katanya, ia tidak sama dengan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Polis yang membuat 124 syor kepada PDRM baru-baru ini.
Beliau berkata, IPCMC bertanggungjawab untuk memperbaiki dan memperbetulkan salahlaku dan penyelewengan yang berlaku dalam pasukan polis.
"Persatuan polis membantah penubuhan IPCMC kerana mahu terus menutup salahlaku anggota polis dan sekaligus membenarkan penyelewengan terus berlaku.
"Sepatutnya polis perlu mengakui bahawa penyelewengan dan salahguna kuasa masih berlaku dalam pasukan mereka dan seharusnya menerima baik penubuhan IPCMC," katanya ketika diminta mengulas pendirian tiga persatuan polis menolak penubuhan suruhanjaya tersebut.
Tiga persatuan tersebut - Persatuan Pegawai Kanan Polis Cawangan Inspektor (PPKPCI), Persatuan Pegawai Kanan Polis Persatuan yang Diwartakan (PPKPCW) dan Persatuan Polis Pangkat Rendah (PPPR) - berpendapat tidak perlu wujud badan lain kerana kini sudah empat badan yang memantau pasukan tersebut.
Empat badan tersebut ialah Bahagian Tatatertib PDRM, Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), Suhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Biro Pengaduan Awam (BPA)..
Berikutan itu, tiga persatuan berkenaan telah menghantar memorandum kepada pengurusan PDRM dan kerajaan bagi menyatakan pendirian mereka menolak penubuhan IPCMC.
Kes Rahim Noor
Bagaimanapun, Guan Eng berkata, Suhakam dan BPA tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memperbetulkan penyelewengan dalam pasukan polis kerana tidak mempunyai kuasa pendakwaan.
"Suhakam dan BPA ibarat harimau yang tidak bertaring. Siapakah yang takut kepada harimau yang tidak boleh menggigit," katanya.
Guan Eng juga berkata, keberkesanan bahagian tatatertib PDRM juga amat diragui.
"Apakah tindakan yang diambil terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor yang memukul Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditahan di Bukit Aman?" tanyanya.
Guan Eng juga mempertikaikan dakwaan PDRM bahawa mereka telah melaksanakan satu pertiga daripada 124 syor dari Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Polis.
Bagaimanapun, katanya, mereka tidak menyebut syor mana yang telah dilaksanakan, menyebabkan orang ramai tidak mengetahuinya.
"Jika polis tidak mahu melaksanakan syor suruhanjaya ini, bermakna penubuhannya hanya membuang masa dan membazirkan wang," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.