Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS sokong Umno lebih kuat lagi di Semenyih - Annuar

PRK SEMENYIH | Hari ini sudah lima hari kempen pilihan raya kecil di sini berlangsung dan berdasarkan pemerhatian Setiausaha Agung Umno Annuar Musa komitpen PAS terhadap kempen Umno cukup berbeza daripada PRK Cameron Highlands.

Menurut Annuar, kerjasama itu semakin lebih erat lagi berbanding sebelum ini.

"Di sini lebih kuat, jentera PAS di Semenyih lebih kuat daripada gerak kerja di Cameron Highlands.

"Macam di Cameron, saya berada di sana sepanjang masa, gerakan itu tidak begitu terbuka. Tapi lebih baik daripada pilihan raya sebelum ini, tapi yang di Semenyih ini, jentera boleh kata bergerak bersama sepanjang masa.

"Lebih teratur, lebih kemas di Semenyih ini. Dari hari pertama lagi. Belum penamaan calon lagi, kita sudah ada jawatankuasa bersama, kita rancang bersama. Dan sekarang ini jentera PAS cukup aktif di sini,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata barangkali itulah yang dimaksudkan PAS yang menyebut sokongannya kepada Umno pada PRK Semenyih tidak sama dengan di Cameron Highlands.

Sokongan tak sama

"Maksud tak sama mungkin lebih kuat lagi lah, tentu tak sama. Sebab di sana jentera PAS cuma kuat di satu DUN, satu DUN lagi itu jentera PAS tak banyak, di Tanah Rata, dia (PAS) cuma di DUN Jelai.

"Jumlah undi PAS pun hampir 7,000 undi. Jadi PAS agak kuat di Semenyih, dan sudah tentu sokongannya tidak sama.

"Kerana di sini sokongan di sini lebih kuat lagi," katanya lagi.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberitahu Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberitahunya PAS tidak akan menyokong Umno pada PRK Semenyih.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menjelaskan ikrar sokongan kepada Dr Mahathir hanya melibatkan keadaan jika berlaku undi tidak percaya kepada pengerusi PH itu.

Selanjutnya, Takiyuddin mengulang komitmen parti itu dalam menyokong calon BN di Semenyih.

Pada 17 Februari lalu, PAS berkata "tahap komitmen serta kadar penglibatannya berbeza keadaannya (berbanding) pada PRK Cameron Highlands."

Namun, Annuar berkata berbanding PRK Cameron Highlands beliau tidak pasti jika presiden PAS akan turun berkempen atau berceramah di Semenyih.

Beliau mendakwa ramai jentera penyokong Umno terdiri daripada pegawai kerajaan diancam dan diugut, maka pendekatan kempen BN di Semenyih lebih mementingkan kaedah kempen bersifat peribadi.

"Sebab jentera kita banyak yang pegawai kerajaan, mereka diugut mereka diancam.

"Jadi kalau kita buat ceramah umum pun, mereka tak akan dapat hadirkan diri kerana mereka akan tertekan dan diugut.

"Jadi kita tak tekankan ceramah oleh ketua parti. Tok Guru (Abdul Hadi Awang) atau Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) tak ada (program ceramah).

"Kita banyak people to people session. Kita ubah pendekatan. Ini kawasan bandar, tak bergantung kepada ceramah umum," katanya lagi.

PRK Semenyih dijadualkan berlangsung pada 2 Mac depan, manakala pengundian awal pada 26 Februari.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS