Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kenapa Mujahid tak saman orang hina Islam, institusi raja?'

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof yang mahu mengambil tindakan saman terhadap pihak yang menuduhnya sebagai alat DAP.

Sedangkan, kata Asyraf, menteri berkenaan tidak mengambil tindakan terhadap pihak yang menghina Islam dan institusi raja.

"Kenapa dia tidak saman orang yang menghina Islam, orang yang menghina nabi, memperlekehkan agama, orang yang menghina Yang di-Pertuan Agong, kenapa dia senyap dan diam?

"Kalau ada kenyataan pun bersifat playsafe ataupun bersifat cuba untuk menyantuni DAP.

"Dan hari ini dia memberi amaran pulak apabila ada kena mengena dengan DAP. Ini menyerlahkan sikap sebenar seorang menteri yang menjaga kepentingan agama," katanya ketika ditemui ketika program ziarah kasih di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Semenyih pagi tadi.

Turut hadir program itu ialah calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, Zakari Hanafi.

Asyraf berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mujahid semalam yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mendakwa beliau sebagai alat DAP dan Tabung Haji kini berada di bawah cengkaman parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Dalam kenyataannya, Mujahid berkata beliau yakin tindakan saman itu akan berpihak kepadanya, berdasarkan kemenangannya dalam kes saman terhadap ahli akademik yang memfitnahnya sebagai ‘kuda tunggangan DAP terbaik’.

Sementara itu, Asyraf berkata Mujahid harus bersikap adil dan jujur dalam mempertahankan kesucian Islam.

"Bukan kita bercakap soal rasis, soalnya dia harus jujur dan bersikap adil, apa juga yang melibatkan kepentingan Islam, beliaulah seharusnya menjadi yang pertama di barisan hadapan kerana Islam adalah agama tunjang kepada persekutuan.

"Tapi rakyat resah ketika ini kerana tiada pembelaan, semacam DAP boleh melalukan sewenang-wenangnya, jadi saya rasa Mujahid lebih baik memfokuskan tanggungjawab asasi daripada dia hanya mempertahankan diri dalam setiap perkara," katanya.

Sementara itu dalam isu berasingan, Asyraf berkata beliau sudah mengarahkan exconya, Wan Mohd Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo membuat laporan polis balas terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Asyraf menyifatkan ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) itu menganiaya Wan Mohd Azri dengan membuat laporan palsu berhubung kekecohan yang berlaku pada hari penamaan calon PRK Semenyih.

Lihat Komen
ADS