Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS nak sokong Mahathir, alhamdulillah, kata Wan Azizah
Diterbitkan:  Feb 21, 2019 5:32 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Spekulasi wujudnya undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hanya untuk memecah belah Pakatan Harapan (PH), kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sambil menyifatkan ia suatu fitnah, beliau berkata dakwaan itu juga sengaja ditimbulkan bagi mencetus keresahan dalam kalangan anggota parti komponen dalam PH.

“Dakwaan undi tidak percaya itu adalah fitnah... tak ada (tidak berlaku). Kita tidak ada apa-apa yang dilaporkan (berkaitan undi tersebut).

“Saya kira itu adalah fitnah dan ini adalah satu cubaan untuk pecah belahkan PH,” katanya ketika sidang media khas pasca bencana Monsun Timur Laut (MTL) 2018/2019 negeri Terengganu dan penyampaian Wang Ihsan Bencana kepada kerajaan negeri.

Menjawab pertanyaan pemberita sama ada wujud sebarang desakan supaya Dr Mahathir berundur, beliau sekali lagi menegaskan pendirian yang sama dan menjelaskan ia sengaja diuar-uarkan malah PH telahpun mengadakan pertemuan untuk membincangkannya.

Isu mengenai undi tidak percaya dibangkitkan selepas pendedahan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan bahawa pihaknya menghidu terdapat kepincangan dalam PH dan bersedia menyokong Dr Mahathir.

Sementara itu, ketika disoal berkaitan sokongan PAS terhadap Dr Mahathir, Dr Wan Azizah berkata ia dialu-alukan namun masih menimbulkan pelbagai persoalan.

“Dia (PAS) nak sokong Alhamdulillah...kita alu-alukan sokongan tetapi dalam pilihan raya umum kita melihat bahawa sokongan itu tidak membawa kepada penambahan untuk PH, (sokongan ) itu menjadi tanda tanya,” katanya.

Pada majlis tersebut, Dr Wan Azizah turut memaklumkan kerajaan telah menyalurkan bantuan wang ihsan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABN) berjumlah RM525,500 kepada 1,051 ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir dan ribut tropika Pabuk pada 2018 dan 2019.

Setiap penerima mendapat bantuan RM500 dengan penerima tertinggi dari daerah Hulu Terengganu (485 penerima), diikuti Kemaman (170 penerima); Marang (144 penerima); Kuala Nerus (104 penerima); Kuala Terengganu (90 penerima); Setiu (32 penerima) dan Dungun (26 penerima).

- Bernama

Lihat Komen
ADS