Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan China menggesa agar kedaulatannya berhubung langkah yang diambil republik itu dalam menentukan hala tuju negara berkaitan masa depan pusat latihan vokasional khususnya di Xinjiang, dihormati.

Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Menteri Jabatan Publisiti Pusat Jiang Jianguo berkata adalah tidak wajar bagi negara lain untuk menentukan terma-terma kepada China memandangkan republik itu mempunyai kaedah sendiri dalam memerangi ekstremisme dan keganasan.

“Mereka mungkin percaya mereka ada kaitan dengan Wilayah Autonomi Xinjiang Uighur (XUAR) atau dengan masyarakat Uighur di sana, namun saya boleh jelaskan kepada anda semua mereka tidak mempunyai kaitan dengan wilayah mahupun rakyat di sana.

“Saya fikir negara yang membuat tuduhan terhadap China itu sendiri merupakan negara berbilang bangsa yang berdepan masalah keganasan dan ekstremisme agama. Justeru saya fikir tidak wajar untuk mereka membuat tuduhan,” katanya menerusi penterjemah kepada sekumpulan wartawan asing yang melawat Jabatan Publisiti Pusat, di Beijing.

Lihat sendiri pusat latihan di Xinjiang

Sebelas wartawan iaitu lima dari Malaysia dan enam dari Indonesia berada di Beijing sebagai menyertai ASEAN Elites China Tour 2019 atas undangan China International Publishing Group bagi melihat sendiri pusat latihan vokasional di wilayah Xinjiang serta mengetahui lebih lanjut tentang dasar agama dan etnik China. Mereka juga melawat beberapa tempat penting dan menarik di Beijing.

Jiang menjawab soalan mengenai kritikan antarabangsa terhadap penindasan kerajaan China ke atas sesetengah minoriti Islam khususnya masyarakat Uighur serta dakwaan ramai ditahan di pusat tahanan di mana mereka dikatakan menjalani program ‘pendidikan semula’.

Kerajaan China bagaimanapun mendakwa kem tersebut hanyalah pusat latihan dan vokasional yang bertujuan mengekang ekstremisme dan keganasan selain mengajar kemahiran berguna kepada pelatih.

Menurut Jiang, susulan latihan itu, ramai yang telah diambil bekerja dan ramai lagi yang telah menamatkan latihan sedang menunggu untuk diambil bekerja walaupun ada segelintir yang ‘masalah ekstremismenya belum selesai’.

“Semuanya bergantung pada kesan sebenar, apabila hasil yang dikehendaki dicapai pusat latihan ini pastinya akan ditutup,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS