Beberapa pemimpin Umno Kelantan mengesahkan ada beberapa bekas pemimpin Umno negeri itu mahu menyertai PAS.

Mereka dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan bekas Ketua Umno bahagian Pasir Mas, Datuk Paduka Ibrahim Ali yang dipecat dari parti pada tahun lalu.

Bagaimanapun tindakan mereka itu dijangka tidak akan menjejaskan kekuatan Umno Kelantan kerana mereka sudah ditolak oleh rakyat.

Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Hashim Safin berkata, tindakan "belot" mereka itu tidak membimbangkan kerana mereka bukanlah pemimpin utama parti tetapi sebaliknya dari kalangan yang sudah tiada pengaruh.

"Saya difahamkan di antara mereka ialah seorang bekas Ketua Umno Bahagian yang akhir-akhir ini begitu lantang menentang kepimpinan Umno Kelantan.

"Kemasukan mereka ke dalam PAS tidak menjejaskan Umno kerana pengaruh dan kedudukan mereka tidak ubah seperti melukut di tepi gantang," katanya.

Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Gual Ipoh dalam Parlimen Tanah Merah berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Naib Presiden PAS, Husam Musa bahawa beberapa pemimpin utama Umno Kelantan bakal menyertai parti itu.

Sokong pembangkang

Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, beliau akan mengumumkan kemasukan mereka ke dalam PAS tidak lama lagi.

Menurut Hashim lagi, mungkin bagi PAS orang seperti itu dianggap sebagai tokoh besar dan penting kepada mereka kerana PAS kini berada dalam keadaan tersepit kerana penduduk Kelantan sudah bosan dengan mereka.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa Datuk Dr Nik Mohd Zain Ismail berkata, bekas Ketua Umno Bahagian yang dimaksudkan mahu menyertai PAS itu sudah diketahui umum menyokong pembangkang dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, 6 Disember lalu.

"Beliau sudah tidak diterima oleh rakyat lagi dan jika kekal lama dalam Umno boleh menimbulkan huru hara kepada parti," katanya.

Beliau berkata, pemimpin berkenaan tidak sehaluan dengan hala tuju parti dan merupakan seorang yang mementikan diri sendiri.

Katanya, kemasukan beliau ke dalam PAS tidak merugikan Umno malah boleh menguatkan lagi parti itu.

Sementara itu Datuk Paduka Ibrahim Ali minggu lalu semasa menghadiri satu majlis anjuran PAS telah mengumumkan hasratnya menjadi "anak angkat" PAS. Pengumuman beliau itu disambut baik oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang turut hadir di majlis itu.