Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Surat tawaran baik pulih rumah diputuskan sebelum PRK

PRK SEMENYIH | Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini berkata pemberian hamper dan surat tawaran baik pulih rumah bagi penduduk Semenyih tidak melanggar sebarang undang-undang.

Muhyiddin, yang mempengerusikan jawatankuasa pilihan raya Semenyih Pakatan Harapan (PH) berkata, surat tawaran baik pulih rumah di bawahProjek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sudah diputuskan sebelum PRK.

"Ini (pemberian surat tawaran) tidak babit pilihan raya, maknanya apa yang mereka dah setuju dan diputuskan sebelum pilihan raya," katanya pada sidang media di Masjid Kampung Batu 3 hari ini.

Muhyiddin berkata, maklumat berkenaan diperoleh daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Rina Harun.

"Bagi saya tiada pelanggaran. Kalau mereka (BN) mahu buat laporan, buatlah," katanya.

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat dakwaan percubaan membeli undi oleh Pakatan Haraan (PH).

Gesaan itu dibuat selepas Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan, Mohd Zaidy Abdul Kadir membuat laporan polis atas dakwaan pemberian hamper dan tawaran baik pulih rumah sebagai cubaan membeli undi.

Asyraf mendakwa, dia dan pasukannya melihat sendiri hamper dan surat tawaran baik pulih rumah itu diedarkan kepada pengundi di Sungai Jai.

Asyraf turut berkongsi gambar hamper dan sampul surat yang didakwa mengandungi surat tawaran baik pulih rumah berkenaan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS